Thursday 19 July 2012

SABAH PERLU PEMIMPIN NASIONALIS




Oleh : NASPAZI

DATARAN intan bukanlah nilai paradigma penulis sehingga menjadi tempat rebutan setiap orang untuk menyelami aura spectrum tersirat pada apa yang tersurat. Justeru, wujud tanggapan kontra oleh segelintir rakan jauh dan dekat penulis; dari kalangan Sabahan sendiri yang seakan merendahkan koleksi paradigma penulis tentang ‘dedalu menghancurkan semalu’ dengan pelbagai pandangan yang berbeza.

Sehubungan itu, ada yang berkata “Siapa kau; atau Kau siapa?” atas alasan, penulis bukan orang yang ternama.

Oleh itu, berdasarkan kepada pelbagai dimensi tanggapan mereka, maka penulis bermonolog bahawa, hujan yang turun tidak pernah berharap agar ditadah oleh setiap orang. Apapun, hujan yang turun dengan lebatnya akan bersatu menjadi sungai.

Sungai tiada yang mengalir lurus namun akan sampai juga ke laut akhirnya. Dalam erti kata lain, tiada sungai yang mengalir ke gunung kerana sentiasa menuju ke tempat yang lebih rendah.

Air yang sentiasa menuju ke tempat yang lebih rendah, tidak bermakna ia tidak bernilai. Yang demikian, penulis merumuskan bahawa, perasaan mereka yang seakan gemar merendahkan paradigma pihak lain bukanlah bukti keunggulan peribadi, tanpa sebuah artikel diri sebagai bukti usaha mempertahankan hak negara Sabah dalam konteks ‘Negara Komponen Malaysia’.

Dalam konteks berpasukan (bola sepak contohnya). Setiap orang muda sedikit sebanyak akan wujud perasaan untuk mewakili pasukan bola sepak Sabah. Tapi jika pemilihan pemain hanya berdasarkan kepada perasaan semata-mata, tanpa mengambil kira ‘talent and skill’ pemain, nescaya pasukan bola sepak Sabah hanya akan menjadi belasahan oleh pihak lawan yang memilih pemain mereka berdasarkan kepada ‘talent and skill’. Yang demikian, sekali lagi menunjukkan bahawa, perasaan semata-mata bukanlah bukti keunggulan berpasukan angkara pilih kasih tanpa kejujuran.




 JAJAHAN.....Sultan Brunei melalui bekas tanah jajahannya yang kini menjadi 'Tanah Jajahan Malaya'. Siapakah yang lebih berhak?



Kebijaksanaan Negarawan Brunei Singapura

Biskut yang diadun mengikut acuan tahi tidak sama nilainya dengan tahi yang diadun mengikut acuan biskut. Biskut yang diadun mengikut acuan tahi, walaupun nampak hodoh dan meloyakan, tapi bersih dan halal dimakan.

Manakala, tahi yang diadun mengikut acuan biskut, walaupun nampak cantik dan menarik, tapi kotor dan haram dimakan. Sesungguhnya, adunan biskut serupa tahi, dan adunan tahi serupa biskut adalah wajah penipuan terbesar di siang hari. Namun, dalam konteks gagasan Malaysia, Brunei Singapura tidak makan tahi penipuan regim Malaya.

Cadangan awal gagasan Malaysia melibatkan lima negara (Brunei, Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura). Namun begitu, Brunei awal-awal lagi telah menolak Gagasan Malaysia atas alasan tidak mahu menjadi tanah jajahan takluk Malaya.

Justeru, Brunei tidak menandatangani gagasan penubuhan Malaysia pada 9 Julai 1963, walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah ugutan dan gertakan regim Malaya sebelumnya.

Singapura pula, walaupun terlibat secara langsung dalam proses menjayakan penubuhan gagasan Malaysia, namun tatkala mendapati dirinya seakan menjadi tanah jajahan takluk Malaya; atau dilecehkan kewujudan autonominya dalam ‘Negara Komponen Malaysia’, maka ia telah mempertahankan nilai kemerdekaannya dengan penuh keazaman nasionalis negarawan sehingga terlaksana harapan sebenar sebagai sebuah negara yang berdaulat sepenuhnya di persada dunia.

Lantarannya, kini Brunei dan Singapura menduduki ranking antara negara terbaik, terkaya dan termaju di dunia. Dengan kata lain, Brunei Singapura berjaya menjadi negara terbaik, terkaya dan termaju di dunia kerana bertuankan dirinya sendiri untuk tidak bertuankan Malaya.

Manakala Sabah dan Sarawak berjaya juga. Tapi berjaya menjadi negeri termiskin termundur kerana tidak bertuankan dirinya sendiri untuk bertuankan Malaya.

Oleh itu, jika pengamal politik Sabah Sarawak ada sedikit maruah dan harga diri, tatkala melihat gelombang kebangkitan Brunei dan Singapura bernegara, berkerajaan dan bermasyarakat, maka tidak boleh tidak, pengamal politik Sabah Sarawak mesti ada keazaman politik (Political Will) untuk keluar dari longkang Ketuanan Malaya di Borneo.

Tegasnya, Sabah Sarawak miskin mudur, sebab bertuankan Malaya; Brunei Singapura terkaya termaju, sebab tidak bertuankan Malaya.

Tiada Bukti Sabah Sebuah Negara Atau Sabah Bankrap Negarawan?

Menyentuh soal tanggapan yang kononnya ‘tiada bukti Sabah sebuah negara’, ianya perlu dipertimbangkan dengan serius dan waspada dalam konteks pelbagai dimensi; khususnya dimensi sejarah, dimensi politik dan dimensi kenegarawan.

Dalam dimensi sejarah menjelaskan bahawa, zaman 40-an Malaya Sabah Sarawak masih merupakan koloni British. Maksudnya, Malaya Sabah Sarawak sama-sama masih menjadi tanah jajahan takluk British.

Namun, pada 31 Ogos 1957 Malaya merdeka; sedangkan Sarawak masih merupakan koloni British dari tarikh 31 Ogos 1957  hingga ke tarikh 21 Julai 1963; demikian juga dengan Sabah yang masih menjadi koloni British dari tarikh 31 Ogos 1957 hingga ke tarikh 30 Ogos 1963.

Dalam erti kata lain, Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963; manakala Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963. Seterusnya, negara-negara yang merdeka dan berdaulat ini telah bergabung menjadi Malaysia pada 16 September 1963.

Oleh itu, tarikh 16 September 1963 sepatutnya dirayakan sebagai hari penubuhan Malaysia bagi ketiga-tiga negara (Malaya, Sabah, Sarawak) yang membentuk Malaysia; atau negara komponen Malaysia.

Malangnya, Sabah dan Sarawak dengan bangga dan megahnya merayakan tarikh 31 Ogos 1957, iaitu tarikh kemerdekaan Malaya sebagai tarikh kemerdekaan apanama Malaysia pula kononnya.

Pada hal, semenjak Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 hingga kini tidak pernah merdeka, sebab belum penah dijajah! Pada masa yang sama, Sabah Sarawak terus dan terus-terusan melupakan tarikh kemerdekaannya sendiri, sehingga hampir seluruh generasi baru Sabahan dan Sarawakian masa kini tidak tahu, bahawa 22 Julai 1963 dan 31 Ogos 1963 merupakan tarikh sebenar kemerdekaan negaranya sendiri.

Sesungguhnya, rentak politik Sabah pasca USNO semakin menghancurkan Sabahan sendiri angkara kerakusan beberapa kerat pengamal politik yang mendaulatkan kepentingan peribadi di atas penderitaan rakyat. 


 


STOOGES......Satu Perdana Menteri dan dua Mantan Perdana Menteri ini bukannya 'Three Stooges' untuk ditertawakan rakyat kerana mereka pernah, sedang dan akan terus berkuasa selagi mendapat mandat rakyat. Siapakah penyelamat dan pemusnah?



Pada hal, Sabah telah merdeka dan berdiri sebagai sebuah negara yang berdaulat sejak pengisytiharan kemerdekaannya pada 31 Ogos 1963. Dengan kata lain, Sabah bukan lagi wilayah yang dijajah, tetapi mengapa hingga kini dalam pelbagai sudut masih seakan terjajah?

Betapa hakikat rakyat Sabah masih dijajah sebagai warganegara dalam sebuah negara yang sudah merdeka dan berdaulat gara-gara sandiwara politik kesyaitanan. Rakyat Sabah masih dijajah dalam sistem Negara Komponen Malaysia.

Satu sistem yang di dalamnya terdapat permainan sandiwara politik bermuka dua dalam memenjarakan hak rakyat Sabah berkerajaan, bermasyarakat dan bernegara sebagaimana yang telah digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perjanjian 20 Perkara.

Yang demikian, hampir seluruh Jabatan Kerajaan Negara Sabah yang telah diwujudkan dan disusun dengan baik oleh British sebelum meninggalkan Sabah dalam tempoh 10 tahun (1963 – 1973) masa transisi kuasa daripada pegawai Britih kepada anak-anak tempatan Sabah telah dirampas untuk diserap ke dalam Jabatan Kerajaan Negara Malaya atas nama Malaysia kononnya.

Akhirnya, rakyat Sabah menjadi kuli dalam jabatannya sendiri sebagai warga kelas keempat (bangsa lain-lain) dalam perkhidmatan awam Malaysia (perkhidmatan awam Malaya sebenarnya).

Justeru, generasi baru rakyat Sabah sepatutnya membuka mata yang berhubung dengan musibah lebih besar yang semakin menghimpitnya ke jurang kehancuran. Tegasnya, rakyat Sabah jangan menutup mata dengan membiarkan pengkhianatan dan kezaliman regim Malaya serta baruanya yang semakin bermaharajalela di Sabah.

Sudah terlalu lama rakyat Sabah berdiam diri dan dipertolol dalam sangkar penipuan dan pendustaan regim Malaya.

Oleh sebab itu, sudah tiba waktunya seluruh rakyat Sabah bangkit dan bergerak bersatu menghancurkan pengkhianatan dan kezaliman, penipuan dan pendustaan regim Malaya di Sabah sebagai penyakit dari kalangan parasit-parasit perompak dan penjilat yang menjadi sembilu kepada hak kedaulatan kemerdekaan rakyat negara Sabah.

Akibatnya mereka merana termiskin di buminya sendiri yang dilimpahi dengan kekayaan puluhan billion setahun, namun berputih mata melihat 95% diangkut ke Malaya atas nama Malaysia kononnya. Selainnya, sia-sia saja Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 gamaknya!

Yang demikian, Sabah tidak syak lagi amat memerlukan kehadiran sejenis pemimpin yang berwibawa piawai negarawan. Negarawan dalam bahasa yang paling mudah adalah pemimpin yang jujur dan bijaksana dalam usaha mengemudi masyarakat dan negara ke arah kebangkitan dan kemajuan negara Sabah agar setanding dengan negara-negara lain di persada dunia yang kaya, moden dan kuat.

Namun begitu, penulis menjangkakan bahawa, kemunculan pemimpin nasionalis negarawan di Sabah amatlah tipis. Sebab, rakyat Sabah bukan jenis masyarakat yang berbudaya mencari dan menghargai pemimpin nasionalis negarawan yang berwibawa.

Bahkan, rakyat Sabah lebih suka dan setia, memuja dan memuji, barua dan talibarut regim Malaya di Sabah sebagai proksi dan perkakas, dalam usaha mereka merempuh kedaulatan dan memunggah kekayaan Sabah kerana demi kepentingan kronisme dan nepotisme mereka, melalui pelbagai bentuk dan ragam propaganda jahat dan busuk dari kilang pendustaan dan penipuan, ugutan dan gertakan, rasuah dan suapan saban hari ke dalam hati dan minda warga Sabahan.

Namun begitu, lambat laun Sabah tetap memerlukan pemimpin sejenis nasionalis negarawan yang berwibawa kerana di tangan merekalah hakikatnya masa depan Sabahan dipertaruhkan agar tidak terus dan terus-terusan dirogol oleh regim pengamal politik lurang. Betapa regim Malaya yang menjadi pengamal politik lurang sama sekali tidak layak memperbodoh plus memperhamba warga Sabahan.

Lantaran akhlak dan moral, sikap dan watak mereka sendiri dalam apa ukuran sekalipun tetap tidak mencerminkan sebagai penganut atau umat Islam yang baik. Sebab itu, regim Malaya sarat dan sendat dengan pelbagai krisis moral hina dan pengkhianatan durjana yang bukan sahaja melanggar kemurnian ajaran Islam sendiri, bahkan bertentangan dengan kelakuan tamadun.


 


KHIANAT.....Ahli Parlimen Silam ini khianat kerana menikahi PATI yang mendapat IC Projek sedangkan beliau adalah pembuat undang-undang? Jika masih dipilih sebagai Calon BN, apa ertinya janji Perdana Menteri mengadakan RCI?



Sesungguhnya, pengkhianatan regim Malaya tidak hanya terhad kepada kegiatan menjual kedaulatan negara Sabah menerusi pemberian IC Projek kepada jutaan PATI, malahan PATI menjadi C4, instrumen, alat dan perkakas mereka untuk merompak, memunggah dan menghisap hasil negara Sabah, lantaran PATI menjadi tunggak dan bank undi mereka bagi menghancurkan kebangkitan nasionalis Sabahan melalui demokrasi longkang.

Pada dasarnya, Sabah bukan milik mana-mana etnik tertentu, mana-mana agama tertentu, mana-mana adat tertentu dan mana-mana tradisi tertentu, kerana negara Sabah adalah milik bersama semua warganegara Sabah pasca merdeka 1963!

Siapa yang kata begitu? Tiada siapa yang kata begitu, melainkan Perjanjian 20 Perkara.

Justeru, rakyat Sabah wajar mempertahankan Perjanjian 20 Perkara yang menjadi haknya dalam Negara Komponen Malaysia 1963, rakyat Sabah wajar membenci penjajahan regim Malaya, rakyat Sabah wajar melawan habis-habisan pengkhianatan regim Malaya terhadap Perjanjian Malaysia 1963 dan Perjanjian 20 Perkara.

Sehubungan itu, sebarang pengkhianatan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 dan 20 Perkara, nescaya kehidupan rakyat Sabah pasti berakhir dengan kepahitan sebagaimana sekarang lantaran dihisap hasilnya sehingga menjadi negeri termiskin di Malaysia.

Pada hal, hasil Sabah puluhan billion setahun, namun dikawal sepenuhnya oleh regim Malaya, sehingga rakyat Sabah terpaksa berkerajaan, bermasyarakat dan bernegara dalam satu sudut dunia kecil senilai 5% saja gamaknya!

Dengan ungkapan lain, seluruh Sabah tidak mampu melawan penipuan dan penindasan regim Malaya dalam pelbagai sudut, termasuk dalam soal ekonomi dan politik yang dipimpin oleh para pembohong yang licik. oleh itu, betapa pengamal politik kelas kambing di Sabah telah membenarkan hak seluruh rakyat Sabah dalam Negara Komponen Malaysia dirogol oleh pengamal politik lurang regim Malaya.

Yang demikian, segala kemiskinan dan kemunduran Sabah dalam Negara Komponen Malaysia bukan kerana miskin hasil, tetapi adalah suatu gambaran kepada kelemahan mutlak luar biasa para pengamal politik Sabah dalam usaha mempertahankan hak kedaulatannya sehingga gagal menandingi keberanian seekor semut yang begitu kecil namun masih mampu menggigit.

Justeru, berilah tempat berpijak kepada pemimpin nasionalis piawai negarawan untuk mengeluarkan Sabah dari pandora penindasan regim Malaya dengan harapan 'Sabahan Berkuasa, Rakyat Sejahtera!'

6 comments:

  1. insyallah sabah akan bebas suatu hari nnti :)

    ReplyDelete
  2. pemimpin2 seharusnya berjuang dan pertahankan hak2 Sabah.

    ReplyDelete
  3. siapalah pemimpin Sabah yang boleh dilihat sebagai pemimpin nasionalis ni??

    ReplyDelete
  4. Memang itu yang kita mahu sebenarnya. Memastikan Sabah ini ada pemimpin yang mampu memberikan hak mereka.

    ReplyDelete
  5. Sabah was no longer the poorest state in the country, government efforts would continue to eradicate poverty

    ReplyDelete
  6. Sabah’s GDP in 2010 was 31.6 billion ringgit, making it the sixth richest in Malaysia just behind Penang and ahead of Perak on peninsular Malaysia

    ReplyDelete