PENINGKATAN Kadar Jenayah di
Malaysia mula meresahkan semua pihak, terutama orang awam yang bingung dengan
senario bunuh, ragut, cabul, culik dan samun; sedangkan polis, mantan pegawai
kanan polis dan pakar jenayah menyifatkan senario ini adalah kesan sampingan
setelah beberapa akta kawalan jenayah dimansuhkan.
Kebimbangan mereka semakin
berasas berikutan wujudnya kumpulan samseng dan mafia di Kuala Lumpur yang
terlibat dengan pelbagai kegiatan jenayah termasuk peras ugut, rompakan nekad,
amok dan serangan mengejut sehingga mengingatkan mereka terhadap keganasan
Botak Chin sekitar 1970-an.
Mungkinkah kegiatan ini
dilakukan oleh kumpulan serpihan Botak Chin atau kumpulan baru yang melakukan
jenayah terancang sejak enam bulan pertama tahun ini ekoran ura-ura pemansuhan
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa akta yang selama ini
membuatkan polis 'Kebal' dan 'Kendiri'.
Sebagai teladan, kita renung
kembali sejarah jenayah Botak Chin yang mendapat perhatian dunia ketika itu.
Pada 22 November 1975,
ketika malam mula berlabuh sekumpulan lelaki melangkah masuk ke dalam sebuah
kereta Datsun hijau. Sebaik enjin dihidupkan, mereka memandu menyusuri jalan
penuh liku di ibu kota Kuala Lumpur.
Perjalanan mereka pada malam
itu hanya untuk satu tujuan ‘gila’. Daripada situlah bermulanya satu kisah
besar dalam sejarah negara dicatatkan.
Sasaran mereka adalah sebuah
kereta dinaiki pegawai kanan polis, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah
Kuala Lumpur, Deputi Superintendan (DSP) S Kulasingam.
Sebaik menjumpai kereta
dinaiki pegawai polis itu, mereka mengekori rapat sambil mengintip peluang yang
sesuai untuk melaksanakan tindakan mereka. Warga kota sekitar Jalan Davis-Jalan
Pekeliling, masih meneruskan kegiatan masing-masing tanpa mengesyaki satu
kejadian menggemparkan pada malam itu.
Setiba di lampu isyarat
Jalan Davis-Jalan Pekeliling, kereta Datsun ber kenaan bergerak pantas
menghampiri kenderaan yang mereka ekori. Sebaik merapati kenderaan dinaiki
pegawai kanan polis itu dan melihat peluang yang dinanti terbuka luas, 18
tembakan dilepaskan bagi ‘menghapuskan’ Kulasingam.
Dentuman demi dentuman
dilepaskan hingga mengejutkan orang ramai di sekitar kawasan berkenaan.
Matlamat kumpulan lelaki itu hanya satu iaitu membunuh seorang pegawai kanan
polis di tempat terbuka. Bagaimanapun, tindakan ‘gila’ penjenayah itu gagal
berikutan hanya satu das tembakan mengenai Kulasingam.
Sebaliknya pegawai polis itu
masih berupaya memandu ke Balai Polis Cheras, tidak jauh dari lokasi itu.
Keesokannya, terpampang pada
dada akhbar bahawa cubaan membunuh itu gagal. Botak Chin atau nama sebenarnya
Wong Swee Chin, yang mengepalai rancangan itu naik angin apabila mengetahui
musuh ketatnya hanya cedera.
Amarahnya memuncak
mengingatkan kehadiran polis kerap mendatangkan masalah kepada aktiviti
haramnya. Kegiatan mengutip wang perlindungan daripada tempat perjudian haram
sekitar Kuala Lumpur yang dikuasainya cuba dilumpuhkan pasukan itu.
Kegiatan rompakan bersenjata
dan pembunuhan yang dilakukan menyebabkan dia dan ahli kumpulan menjadi buruan.
Banglo di Bukit Kenny yang disewa dengan bayaran RM1,200 sebagai tempat
persembunyian hanya bertahan selama tiga hari sebelum polis berjaya menghidu
markas baru mereka itu.
Malah, dia sendiri nyaris
ditahan polis pada September tahun itu apabila kereta curi yang dinaikinya
bersama beberapa anggota dikesan pihak berkuasa itu.
Selepas dikejar sejauh 3.2
kilometer dan dihujani tembakan polis, kereta itu berhenti di Segambut Dalam
dan Botak Chin segera menyelinap ke kawasan setinggan. Dalam keadaan kelam
kabut, mereka tertinggal sepucuk revolver .38.
Botak Chin bersama
anggotanya, termasuk seorang yang cedera ditembak berjaya meloloskan diri
dengan merampas sebuah kereta Volvo milik seorang pegawai bank.
Pada bulan sama juga, orang
kanannya, Chau Kuan (Ah Kuan) ditembak mati di sebuah kedai runcit di Jalan
Kovil Hilir, tetapi kematian tidak menakutkannya, dia terus melakukan rompakan.
Serangan mengejut terhadap
Kulasingam menyebabkan pihak polis bertekad untuk menahan dan membasmi jenayah
pemuda itu. Lelaki itu berbahaya terhadap negara. Usianya baru pada awal 20-an
tetapi dalam usia smuda itu, namanya sudah tercatat dalam sejarah jenayah
negara sebagai penjenayah ganas paling dikehendaki. Tindak-tanduknya sentiasa
mendatangkan bahaya yang besar kepada ke amanan negara.
Lalu satu pasukan khas
ditubuhkan polis. Beberapa pegawai polis yang pakar memburu penjenayah daripada
beberapa ibu pejabat polis daerah dipanggil menganggotai pasukan itu dan tugas
mereka adalah menjejak pergerakan geng Botak Chin, tempat yang sering
dikunjungi dan sarang persembunyian.
16 Februari 1976. Selepas
beberapa bulan menjejak penjenayah kejam dan paling dikehendaki itu, akhirnya
episod akhir pemburuan polis membawa mereka ke sebuah kilang papan di Jalan
Ipoh, Kuala Lumpur.
Operasi besar diatur dan
pelan dirangka sebaik mungkin. Polis mula mengepung kilang berkenaan dan dalam
kegelapan malam, mereka menunggu kemunculan Botak Chin. Detik demi detik
berlalu dengan penuh debaran.
Akhirnya, sebuah kereta
Mazda putih masuk ke kawasan kilang. Sebaik berhenti, tiga lelaki keluar
daripada kereta itu dan seorang daripada mereka ialah suspek buruan, Botak
Chin. Penjenayah ganas itu lengkap bersenjata selain memiliki dua bom tangan.
Langkah dan perlakuan
seperti biasa meyakinkan pihak polis bahawa kumpulan penjenayah terbabit tidak
menyedari kehadiran mereka. Botak Chin tidak menyedari bahawa kawasan itu sudah
dikepung.
Beberapa pengikut penjenayah
itu yang ditugaskan mengawal kawasan kilang berkenaan masih leka dan selesa
dengan aktiviti masing-masing seolah-olah ketenangan malam itu akan terus
dinikmati dengan aman.
Ketika itulah polis
bertindak, empat pasukan menggempur masuk ke kawasan kilang menyebabkan
pengawal leka yang diharap menjadi mata dan telinga Botak Chin lari lintang
pukang meninggalkan ketua mereka dan tempat persembunyian itu.
Daripada dalam pejabatnya,
Botak Chin dan dua orang kanannya iaitu Beh Kok Chin (Pangkor Chai) dan Hiew
Foo Khen (Ah Keong) yang berasa ‘sesuatu yang tidak kena’ berlaku di luar mula
menyedari mereka sudah dikepung polis.
Beberapa ketika kemudian,
berlakulah pertempuran antara penjenayah dan polis dengan masing-masing
melepaskan tembakan. Polis melepaskan kira-kira 500 das tembakan selain gas
pemedih mata dalam drama tembak menembak itu.
Pangkor Chai dan Ah Keong
membalas tembakan selain melemparkan sebutir bom tangan ke arah polis.
Pertempuran begitu sengit dan meruncing.
Dalam kelam-kabut itu, Botak
Chin ditembak pada kaki dan tangan kanan. Dalam kesakitan, dia merangkak
mencari dua pengikut kanannya itu tetapi mendapati kedua-dua mereka sudah kaku
tidak bernyawa.
Babak keganasan penjenayah
itu berakhir apabila Botak Chin yang berada dalam keadaan tersepit menyerah
diri dalam operasi penuh bahaya itu.
Botak Chin ditahan selama
setahun sebelum mengaku bersalah apabila dihadapkan ke mahkamah terhadap dakwaan
mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membawa kepada hukuman mati
mandatori.
Disebabkan peguamnya membuat
rayuan terhadap hukuman itu hingga peringkat Privy Council, Botak Chin dibicara
semula pada 1 April 1980 tetapi dia tetap didapati bersalah pada 16 Mei 1980
dan rayuannya kepada Mahkamah Persekutuan dan Lembaga Pengampunan ditolak.
Ketika menunggu dihukum
gantung, Botak Chin terus menunjukkan sikap ganasnya apabila menyerang dan
mencederakan pegawai penjara termasuk menggunakan senjata tajam sebanyak dua
kali.
11 Jun 1981, kepalanya
disarung dengan kain hitam. Dalam kegelapan, dia dibawa menuju ke satu lokasi
dalam Penjara Pudu itu. Botak Chin diminta berdiri di atas platform dan
beberapa ketika kemudian kedengaran gear ditarik.
Platform di bawah kakinya
terbuka, tubuhnya terjatuh ke bawah, tali gantung menjerut lehernya sehingga
patah dan riwayatnya selaku penjenayah muda yang ganas dan paling dikehendaki
polis akhirnya tamat.
Kronologi Botak Chin: -
Hasil rompakan diguna beli senjata
api di Thailand
1967 – Mula terbabit dalam
kumpulan Geng 360 di Kuala Lumpur dan melakukan jenayah kecil seperti mencuri.
19 April 1969 – Melakukan
rompakan bersenjata pertama bersama tiga rakan.
September 1969 – Memiliki
senjata pertamanya revolver .22 lalu menubuhkan geng sendiri. Melakukan lapan
rompakan pada bulan itu tetapi akhirnya ditahan polis dan dipenjara tujuh
tahun.
November 1974 – Dibebaskan
daripada penjara. Cuba memulakan kehidupan baru sebagai insan biasa tetapi
pendapatan sebagai penjual sayur tidak memuaskan hatinya.
April 1975 – Kurang setahun
selepas dibebaskan, Botak Chin kembali aktif dengan menubuhkan geng baru yang
dianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong), Beh Kok Chin (Pangkor Chai) dan Teh Bok Lay
(Seh Chai).
Mei 1975 – Pergi ke Thailand
dengan bantuan rakan untuk membeli senjata api.
2 Jun 1975 – Merompak
RM5,800 daripada sebuah pusat perjudian haram di Sentul. Hasil rompakan
digunakan untuk membeli lapan senjata api dan peluru di Thailand. Berlatih
menembak dengan menjadikan anjing liar sebagai sasaran di kawasan bekas lombong
di Kepong. Semakin berani apabila mempamerkan senjata api di tempat terbuka
iaitu Pasar Sentul.
20 Julai 1975 – Merompak
RM95,000 dari sebuah bank di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Tidak lama selepas itu,
beberapa pemain mahjung dirompak RM10,000 selain barang kemas dan barang
berharga di sebuah kuil Cina di Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur. Merampas tiga
pistol milik tiga anggota polis. Merampas senjata api milik pengawal
keselamatan dalam rompakan sebuah bar di Sentul. Mencabar sesiapa saja di Kelab
Kereta Api Sentul untuk beradu kehandalan menembak ala koboi dalam rompakan di
situ.
26 Oktober 1975 – Rompakan
terbesar dilakukannya apabila melarikan RM218,000 dan menembak pengawal
keselamatan yang membawa wang di Kelab Lumba Kuda. Hasil rompakan sekali lagi
digunakan untuk membeli senjata api di Thailand. Dia kemudian memiliki 19
senjata api, lima bom tangan dan kira-kira 1,000 peluru. Menyedari kedudukannya
sebagai ketua mula terancam kerana ada yang cuba mencabarnya, Botak Chin
bertindak. Ketua geng Lima Jari Gunung, Tua Pui Lek dan anggota gengnya sendiri
iaitu Ah Wong, kemudian ditemui mati ditembak di kawasan lombong tinggal di
Jinjang. Orang kanannya, Seh Chai, mati membunuh diri selepas dikepung polis di
Jalan Alor. Awal 1976 Botak Chin mengambil anggota baru, diikuti tiga rompakan
dengan wang yang dilarikan kira-kira RM400,000. Pada masa sama, tujuh orangnya
mati ditembak selain ada yang ditangkap. Polis juga merampas 15 senjata api,
peluru dan bom.
22 November 1975 – Cuba
membunuh pegawai kanan polis yang memburunya tetapi gagal.
16 Februari 1976 – Ditahan
polis dalam satu serbuan di sebuah kilang di Kuala Lumpur. Dua pengikut
kanannya terbunuh dalam pertempuran dengan polis.
11 Jun 1981 – Maut di tali
gantung di Penjara Pudu.
No comments:
Post a Comment