Sunday 8 July 2012

SINAR BAHARU BAGI GOLONGAN MUDA




KOTA BELUD : Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi harapan baharu kepada golongan muda di negara ini untuk menikmati masa depan yang lebih cerah, kata Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak pada Sabtu.

Sambil menyebut bantuan RM100 kepada pelajar dan baucer buku bernilai RM200 untuk pelajar institusi pengajian tinggi sebagai contoh, beliau berkata generasi muda menyambut baik dasar yang diperkenalkan Najib sejak beliau mula mengambil alih teraju pentadbiran negara.

"Jelas sekali, dasar yang diperkenalkan Najib memberi manfaat kepada golongan muda. Mereka melihatnya sebagai praktikal untuk dilaksanakan, sejajar dengan agenda transformasi kerajaan," kata Salleh ketika berucap merasmikan konvensyen Puteri Umno Kota Belud di sini.

Sejajar dengan itu, Salleh, yang, juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, menyeru golongan muda, termasuk anggota Puteri Umno supaya memahami dasar kerajaan dan menerangkannya kepada rakan sebaya mereka, terutama tentang misi Najib untuk menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata penerimaan golongan itu amat penting bagi Barisan Nasional (BN) kerana pengundi muda merangkumi lebih 40 peratus daripada jumlah pemilih pada pilihan raya umum akan datang. (Bernama)

No comments:

Post a Comment