Sunday 15 July 2012

SPEAK1M UNTUK BANTU AHLI KOPERASI




KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Skim Pembiayaan Ekonomi Anggota Koperasi 1Malaysia (SPEAK1M) bagi membantu anggota koperasi melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan.

Beliau berkata skim itu merupakan dana pembiayaan mikro yang akan disalur kepada koperasi untuk menjana aktiviti ekonomi anggotanya sejajar peranan mereka sebagai satu daripada tunjang pembangunan ekonomi negara.

Katanya, bagi meningkatkan kecekapan dan pembangunan koperasi, had maksimum geran pembangunan bantuan asas ditambah daripada RM30,000 kepada RM50,000 bagi membantu institusi itu meningkatkan daya saing.

Selain itu, Najib mengumumkan peranan kawal selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan dipecahkan bagi membolehkan satu badan khusus ditubuh untuk membangunkan koperasi.

"Inilah antara tiga langkah terbaru (membangunkan koperasi) yang saya umumkan pada malam ini, dan cadangan lain sedang kita pertimbangkan dan mungkin kita boleh umumkan pada masa akan datang," katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Koperasi Negara di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini Sabtu.

Seramai 60,000 anggota koperasi dari seluruh negara menghadiri sambutan itu, yang turut disertai anggota koperasi luar negara.

Mengenai peningkatan had maksimun geran pembangunan bantuan asas, Najib berkata langkah ini diambil kerana kebanyakan koperasi sedia ada bersaiz kecil, kurang berdaya maju dan dianggotai masyarakat pendapatan rendah.

Beliau juga berkata bagi membantu koperasi dengan lebih berkesan, kerajaan bercadang memisahkan peranan kawal selia SKM dalam membangunkan koperasi yang ada di negara ini.

"Tidak sesuai kalau satu badan memainkan peranan sebagai moderator dan di samping itu, perlu juga membangunkan gerakan koperasi... lebih sesuai, dan kalau kedua-dua peranan itu dipisah, kita akan dapat tentukan peranan yang lebih jelas lagi," katanya.

Perdana Menteri turut menyarankan agar koperasi kecil dapat digabung untuk menikmati ekonomi yang boleh menjana pendapatan lebih dan membolehkan mereka mampu berdaya saing di peringkat lebih tinggi.

"Koperasi sedia ada boleh menyediakan pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan boleh memberi pinjaman kredit dan juga boleh memberi peluang perniagaan kepada mereka yang terlibat.

"Saya berharap semua ini dapat dirancang dengan baik supaya bilangan dan juga jumlah koperasi yang dapat menjana pendapatan yang tinggi akan terus meningkat," katanya.

Najib berkata perlaksanaan dasar transformasi negara, pelan transformasi kerajaan dan pelan transfromasi ekonomi membolehkan ekonomi negara berada di atas landasan yang sihat dan kukuh.

"Saya percaya gerakan koperasi boleh menyumbang kepada kekuatan ekonomi negara, dan dengan suasana ekonomi yang memberangsangkan ini, maka sudah tentu ia akan mewujudkan suasana yang lebih positif untuk gerakan koperasi dan negara.

"Tidak mustahil kalau satu hari nanti gerakan koperasi di Malaysia akan menjadi contoh kepada negara lain," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment