Wednesday 4 July 2012

SUBSIDI MINYAK TIDAK WUJUD?




Saudara Pengarang,


MERUJUK kepada The MalaysianInsider bertarikh 2 Julai 2012, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata “Malaysia merupakan pengeluar minyak tetapi permintaan dalaman adalah hampir sama banyak dengan minyak yang dieksport” dan juga “minyak Malaysia lebih sesuai untuk pasaran antarabangsa. Manakala untuk keperluan dalam negeri, kerajaan terpaksa mengimport dan memproses minyak dari negara-negara seperti di Timur Tengah”.

Cuba kita ringkaskan dan permudahkan ayat tersebut di atas bagi memudahkan kebanyakan rakyat Malaysia untuk memahami kenyataan di atas:

1)      Pengunaan minyak dalam Malaysia =  Eksport minyak Malaysia (atau hampir sama)

2)      Minyak Malaysia lebih baik (>) dari minyak dari Timur tengah

Sedia maklum minyak dari Malaysia sangat berkualiti iaitu melebih 40 API graviti dan kandungan sulfur yang kurang dari 1%, manakala minyak dari Timur Tengah mempunyai gred antara 27 API sehingga 40 API graviti dan kandungan purata sulfur dalam 2%. Lebih tinggi API graviti sesuatu minyak mentah itu lebih tinggi kualitinya dan Surfur adalah gas yang beracun dan boleh membunuh yang selalu wujud dalam minyak mentah.

Berdasar faktor 'lapok' pertama ini saya tertanya kenapa perlu mengeksport minyak keluar negara dan membeli balik jumlah minyak yang sama untuk kegunaan tempatan?

Andaikan harga jualan dan belian balik adalah sama harga, bererti kita membayar semua kos bagi pengangkutan perkapalan ke negara pembeli dan sekali membayar kos pengangkutan semasa membeli minyak untuk keperluan tempatan.

Semua ini akan melibatkan kos jutaan ringgit yang akhirnya akan diserap dalam kos minyak yang dibeli oleh rakyat Malaysia. Perkara ini dilakukan mungkin kerana kerajaan cuba 'memajukan' industri perkapalan Malaysia dengan 'bantuan' rakyatnya sendiri.

Manakala diketahui minyak mentah Malaysia adalah berkualiti tinggi dan bersih dari racun gas sulfur dijual dan dinikmati oleh negara-negara lain. Apakah taraf negara Malaysia terlalu rendah untuk menggunakan minyak yang terbaik?

Semua pemprosesan minyak dari Timur Tengah akan memerlukan kos yang lebih tinggi kerana kandungan wax/tar yang tinggi dan menapis gas sulfur yang beracun.

Semua ini pada dasarnya akan memberi kesan lebih kepada pencemaran alam  di negara kita. Adakah ini berbaloi hanya kerana perbezaan beberapa 'dollar' kita sangup mencemarkan alam negara Malaysia tercinta ini?

Kemungkinan pemimpin negara membuat keputusan berdasarkan lebih kepada keuntungan daripada keselesaan pengguna dan taraf pencemaran alam?

Apakah dengan menjual minyak yang berkualiti tinggi dengan harga yang lebih mahal dan membeli minyak yang lebih murah akan memberi keuntungan kepada negara? Jika konsep ini diguna pakai, kenapa kerajaan masih mengeluh apabila membayar subsidi minyak kepada rakyat Malaysia?

Pada dasarnya jikalau kita gunakan minyak yang kita keluarkan sendiri tanpa mengimport minyak mentah dari luar, kita pasti akan 'untung' dalam bentuk pengunaan minyak yang berkualiti dan mengurangkan pencemaran alam di Negara Malaysia.

Manakala jika kita jual minyak mentah kita dan membeli minyak murah dari Timur Tengah juga pasti kita 'untung' hasil perbezaan harga jualan dan belian. Isunya sekarang kenapa kerajaan mengeluh membayar subsidi minyak yang seharusnya tidak wujud dan tidak benar kecuali kerajaan dari awalnya cuba mengaut keuntungan mutlak dari hasil penjualan minyak mentah ini dibandingkan dengan harga minyak pasaran?

Apa yang berlaku sekarang ini rakyat Malaysia secara tidak langsung yang menanggung kos pengangkutan laut penjualan dan pembelian minyak mentah, beza harga minyak hasil transaksi dan fee dan juga cukai-cukai yang terlibat.

“Lebih rumit perjalanan perniagaan itu, lebih banyak yang perlu kita bayar dan lebih banyak pihak ke tiga mendapat keuntungan”.

Salam Hormat,

NOOR HALIM DATUK ZAINI

No comments:

Post a Comment