TAPAH : Perhimpunan Oren di
ibu negara semalam yang gagal mencapai sasaran kehadiran 20,000 warga peneroka
membuktikan peneroka yakin dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings
Berhad (FGVH) di Bursa Malaysia, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
Beliau mendakwa majoriti
daripada kira-kira 3,000 penyokong yang hadir pada perhimpunan anjuran
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) itu adalah daripada parti
pembangkang.
“Saya nak ucapkan tahniah
kepada peneroka kerana tidak menyokong perhimpunan itu, apa kita (kerajaan)
buat adalah jalan yang betul,” kata Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno
Bahagian Tapah 2012 di sini, kelmarin.
Mengenai tindakan pihak
tertentu menggunakan gambar bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan
anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di laman blog bertujuan
memancing orang ramai menghadiri perhimpunan itu, Ahmad berkata perbuatan itu
amat tidak bertanggungjawab.
“Kedua-dua pemimpin tidak
pernah menyatakan tidak setuju dengan penyenaraian ini dan mereka melalui
wakil-wakilnya telah menafikan penglibatan mereka tentang hal himpunan itu,” jelasnya.
Perhimpunan itu diadakan
bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong meminta campurtangan
Seri Paduka terhadap penyenaraian FGV. (Bernama)
No comments:
Post a Comment