Saturday 21 July 2012

TERJUN SUNGAI ELAK DICEKUP




PERIKSA......Antara warga asing yang diperiksa dalam operasi berkenaan.

Oleh : RUZAINI ZULKIFLI

KOTA KINABALU: Tiga warga asing sanggup bertindak terjun sungai gara-gara mengelak daripada ditahan penguatkuasa imigresen setelah lokasi tempat mereka bekerja di tapak pembinaan berdekatan KK Times Square, di sini, diserbu kira-kira jam 10 pagi kelmarin.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Mohammad Mentek, berkata tiga lelaki terbabit bagaimanapun diberkas anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang turut menyertai operasi khas ‘Ops 5P’ di tapak pembinaan itu.

Menurutnya, selain tindakan terjun sungai itu, tujuh lagi warga asing cuba bersembunyi di atas siling, namun berjaya dikesan dan akhirnya diberkas.

“Serbuan jam 9.30 pagi dibuat selepas kita menerima aduan dari orang awam. Kita pada mulanya melakukan intipan dan risikan sejak dua bulan lepas dan mendapati terdapat kalangan pekerja tidak memiliki dokumen sah,” katanya.

Mohammad berkata 168 individu diperiksa dalam operasi berkenaan yang turut disertai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah dan Ikatan Relawan Malaysia (Rela).

“Daripada jumlah itu, 85 warga asing termasuk tiga wanita dibawa ke pejabat imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut ekoran gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta penyalahgunaan pas pekerja.

“Sementara itu, kita turut menahan tujuh majikan kerana menggaji pekerja asing secara tidak sah,” katanya.

Kesemua majikan itu kini disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan Ops 5P di seluruh negeri dari semasa ke semasa di semua tapak pembinaan yang disyaki mempunyai pekerja asing tanpa permit sah.

“Saya juga memberi amaran kepada majikan agar tidak menggaji warga asing secara haram kerana tindakan tegas termasuk tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka,” katanya.
Dalam pada itu, seorang warga asing ditemui mati lemas setelah dipercayai melarikan diri daripada dicekup oleh penguatkuasa dalam satu serbuan dua hari lepas.

Mangsa yang merupakan lelaki berusia sekitar 35 tahun itu ditemui kira-kira jam 5 petang kelmarin di sungai Sembulan, tidak jauh lokasi tapak pembinaan di KK Times Square di sini.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Kematian mangsa difahamkan berpunca daripada lemas. Polis menyifatkan kejadian ini sebagai kes mati mengejut dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya.

Dikatakan mangsa gagal menyelamatkan diri dan dikhuatiri lemas setelah bertindak terjun ke sungai berkenaan gara-gara mengelak daripada penguatkuasa imigresen dalam satu serbuan di tapak pembinaan berdekatan KK Times Square. (UB)

6 comments:

  1. PATI sanggup lakukan apa saja walaupun membahayakan diri semata-mata untuk melepaskan diri dari ditahan pihak berkuasa.

    ReplyDelete
  2. Majikan pun perlu dikenakan tindakan kerana mengambil pekerja warga asing yang tiada dokumen sah untuk bekerja.

    ReplyDelete
  3. Sudah pasti yang terjun ini nampak sangat bersalah dan bermasalah.

    ReplyDelete
  4. Cadangan juga jika baik pengusaha projek ini juga diambil tindakkan jika didapati mengupah warga asing tanpa dokumen sah. Ini sebagai satu pengajaran kepada mereka ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul, pengusaha2 projek tidak sepatutnya mengambil PATI untuk bekerja dengannya. tindakan tegas patut dikenakan.

      Delete
  5. Kerapkan lagi operasi macam tu

    ReplyDelete