Wednesday 11 July 2012

TINDAKAN JIKA SALAHGUNA FOTO POLIS




POLIS Kelantan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana parti politik yang menyalah guna gambar anggota atau pegawainya yang lengkap beruniform untuk dicetak pada bunting kempen, misalnya bagi tujuan mengadakan ceramah.
   
Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata tindakan itu bertujuan menjaga maruah dan imej Polis Diraja Malaysia di mata masyarakat bagi mengelak dilihat sebagai menyokong mana-mana parti politik di negara ini.
   
Tindakan ini diambil berikutan PAS kawasan Rantau Panjang mencetak gambar bekas Ketua Polis Daerah Tapah DSP Abdullah Omar yang bersara pada 1998 di bunting untuk hebahan ceramah isu semasa mereka pada 9 malam ini di Pusat Tarbiyah Kampung Pohon Buluh, Meranti, Pasir Mas, katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama malam tadi.
   
Beliau berkata walaupun bekas pegawai kanan polis itu merupakan seorang daripada penceramah, gambarnya yang masih dalam uniform polis tidak boleh dicetak bagi mengelak salah tanggapan masyarakat.
   
Bunting yang digantung di jalan raya Meranti, Pasir Mas turut memapar gambar dua Anggota Dewan Undangan Negeri daripada PAS iaitu Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Siti Zailah Mohd Yusoff yang hadir untuk memberi ceramah.
   
Jalaluddin berkata pihaknya mengambil tindakan mengikut Seksyen 30 (1) (a) Akta Polis 1967 (kuasa untuk membuat perintah-perintah bagi mengawal pertunjukan bendera dan lain-lain) yang boleh membawa hukuman denda RM500 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment