Saturday 14 July 2012

WAN AZIZAH SOKONG MUSA HASSAN




Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

PETALING JAYA : PKR mendesak kerajaan Persekutuan supaya menangani peningkatan kes jenayah, dan bukannya memberikan keutamaan kepada pengurusan persepsi awam.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah juga turut mempertikaikan kenyataan PEMANDU semalam yang mengumumkan pihaknya telah menggunakan 0.75 peratus daripada Program Transformasi Kerajaan untuk pengurusan perhubungan awam terhadap jenayah.

“Rakyat mahukan tindakan diambil terhadap jenayah, dan bukannya pengurusan persepsi,” kata Wan Azizah kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini.

Jelas beliau lagi, “PEMANDU hanya memilih untuk menyerlahkan salah satu perkara istilah ini dalam perhubungan awam, dan bukannya menangani gambaran besar kes jenayah.”

Malah, Wan Azizah juga turut menyokong kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mendakwa pentadbiran kerajaan menyembunyikan fakta daripada rakyat dan keselamatan awam kini berada di tahap “membimbangkan.”

Semalam, Musa mendakwa kadar jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat dan meminta agar pihak berkuasa tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai.

“Sewaktu saya memikul tanggungjawab sebagai KPN dahulu, saya sering sebut tentang peningkatan kadar jenayah,” kata Musa dalam wawancara bersama The Malaysian Insider.

Bekas KPN itu turut mengakui kadar jenayah di Malaysia pada hari ini berada di tahap yang membimbangkan.

“Jika jenayah tak teruk, tak perlulah menteri-menteri dan orang kaya guna ramai ‘bodyguard ... kerana banyak jenayahlah menteri-menteri dan orang-orang besar perlukan ‘bodyguard’,” kata Musa

Malah, Wan Azizah turut menegaskan, “PKR tidak mengatakan 71 peratus yang digunakan untuk 'perhubungan awam bagi meningkatkan persepsi orang ramai.'

“Kami mengatakan kerajaan memperuntukkan 71 peratus daripada bajet operasi Bidang Keberhasilan Utama Kerajaan (NKRA) Pengurangan Jenayah ke arah persepsi menguruskan perasaan takut terhadap jenayah.”

Beliau juga mendakwa, kenyataan PEMANDU dengan menonjolkan angka 0.75 peratus, (RM1.8 juta), PEMANDU tidak menerangkan keadaan sebenar dan menjalankan “nitpicking” untuk mengalih perhatian rakyat.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh ini juga berkata, “jika PEMANDU mahu nitpick pada istilah perhubungan awam, sudah tentu matlamat meningkatkan kepuasan awam terhadap polis jatuh di bawah definisi mereka sendiri.”

Beliau turut menambah, belanjawan yang diperuntukkan untuk mencapai matlamat itu ialah RM27 juta, yang merupakan 11.25 peratus daripada bajet pengurusan NKRA.”

Walaupun berlakunya kes serangan, rompakan dan penculikan, polis, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan kementerian dalam negeri (KDN) telah mengeluarkan statistik kadar jenayah negara telah menurun semenjak kerajaan memperkenal Program Transformasi Kerajaan (GTP).

PEMANDU juga sebelum ini telah mengeluarkan angka untuk menunjukkan penurunan indeks jenayah sebanyak 11.1 peratus dari 2010 sehingga tahun lalu manakala jenayah jalanan menurun 39.7 peratus pada tempoh sama.

Malah, mereka juga turut merayu agar media membantu mereka mengubah persepsi rakyat dan mendesak laporan seimbang dikeluarkan.

No comments:

Post a Comment