Thursday 20 September 2012

1,000 MENUNGGU MAUT DI HUJUNG HARAPAN?




TAMPARULI : Hampir 1,000 penduduk di Kampung Tomis Jaya-Kampung Tomis Mangi Pangi di sini hidup dalam ketakutan selepas aduan berkaitan keretakan tanah di kawasan kampung ini tidak mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan.

Dakwa mereka, sejak mula dimaklumkan semasa menemui keretakan tanah awal tahun 1990-an, tiada sebarang pihak tampil mengambil langkah mengatasinya.

Penduduk, Medi Liman, 50, berkata, dia hairan kenapa pihak bertanggungjawab tidak bertindak segera selepas dimaklumkan keadaan tanah keretakan tanah di kawasan ini.

“Tanah di sekeliling kawasan berkenaan dikesan semakin hari semakin retak dan keadaan ini boleh membahayakan keselamatan penduduk,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Martin Thomas, 35, berkata, keretakan tanah itu mengakibatkan keretakan besar dan berbahaya kepada penduduk.

“Tidak mustahil kesan keretakan tanah itu jika dibiarkan akan mengakibatkan kampung ini tidak selamat untuk diduduki. Pastinya yang akan menjadi mangsa ialah kami penduduk,” katanya.

Beliau juga berkata beberapa keluarga sudah terpaksa berpindah  tempat tinggal disebabkan keretakkan pada rumah mereka masing-masing.

Manakala segelintir keluarga yang walaupun rumah mereka sudah retak teruk namun masih tinggal  di rumah yang sedia ada disebabkan tidak mampu untuk membuat rumah baru dan tidak tahu di mana perlu mereka berpindah.

Bagi salah seorang penduduk, Suresh Pillai, (gambar atas) 30, kejadian keretakan tanah di kawasan tersebut itu tidak sepatutnya dipandang remeh kerana ia boleh mendatangkan bencana besar. 






Menurut beliau, orang-orang yang bertanggungjawab dengan hal ini sudah dimaklumkan pada awal 1990-an selepas salah seorang penduduk kampung mendapati rumah beliau mengalami keretakan yang teruk, namun sampai sekarang belum ada tindakan drastik yang dilakukan oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab. 

Salah satu akibat daripada keretakkan itu ialah terpaksa merobohkan gereja St Rosed Tobitua yang baru berumur 10 tahun pada ketika itu.

"Penduduk Kampung Tomis Jaya dan Kampung Tomis Mangi-Pangi berharap agar pelan tindakan bagi isu ini dibuat dengan segera disebabkan Keratakkan tanah itu semakin membahayakan kerana aliran air hujan turut mempercepatkan proses keteguhan tanah sekelilingnya,” katanya.


Menurut Suresh, keretakan tanah dan runtuhan jalan dikesan berlaku pada awal tahun 1980-an di tengah-tengah kedudukan Kg Tomis Jaya; bermula dari Gereja ke kawasan Dewan serbaguna sepanjang 1.8 kilometer.

"Punca utama yang dikenal pasti sistem perparitan Jalanraya utama Ranau - Tamparuli. Runtuhan kampung kemungkinan akan berlaku sama seperti yang berlaku di Kg Kiau dan mungkin lebih besar," kata Suresh.

Kata Suresh, pihaknya telah mengenalpasti antara rumah penduduk yang terlibat dalam retakan tanah tersebut ialah Josep Lobak, Stephen Lobak, Liti Kurun, Sungat Bagu, Modili Singah, Lizah Garob Gereja St Rosed Tobitua, Biana Tanggang, Miss Theresa, Gayak Opion, Miki Singah dan beberapa yang lain.






"Kita bimbang jika runtuhan berlaku, kesannya lebih besar mungkin berlaku seperti kejadian banjir lumpur Kg Tomis Lama, Lembah Tiong, Lembah Sinulihan dan seterusnya ke kawasan Kiulu dan Tamparuli," kata Suresh lagi.

Permohonan pemindahan kampung ke tapak baru telah dibuat sejak awal tahun 1990-an tetapi kata Suresh, sehingga hari ini belum ada sebarang pelan tindakan yang terperinci untuk menangani masalah ini diambil pihak berkuasa.

"Kami berdoa setiap malam agar kami tidak menjadi mangsa tanah runtuh ketika lena tidur dan kami tidak dijadikan mangsa korban sebelum kerajaan terhegeh-hegeh melakukan sesuatu yang sudahpun terlambat," kata Suresh dengan nada resah.

No comments:

Post a Comment