Sunday 30 September 2012

39,000 JUTAWAN BERPOTENSI JADI PELABUR BUDIMAN





MALAYSIA mempunyai 39,000 jutawan yang berpotensi menjadi pelabur budiman yang boleh membiayai peringkat permulaan sesuatu perniagaan, demikian menurut Laporan Ekonomi 2012/2013.
   
Pelabur budiman adalah pihak yang melakukan pembiayaan permulaan, dengan syarikat terkenal yang pernah memperoleh keuntungan daripada mereka termasuk Google, Facebook, Paypal, Tesla Motors, Twitter, Autocad, Intel, Apple dan National Semiconductor.
   
Individu yang bernilai bersih tinggi dapat menyediakan sekumpulan pelabur budiman yang berpotensi, demikian menurut Laporan Ekonomi 2012/2013 oleh Kementerian Kewangan.
   
Bilangan pelabur budiman di negara ini dijangka bertambah secara berperingkat memandangkan kewujudan budaya melabur pada peringkat permulaan dalam usaha niaga teknologi berisiko tinggi yang memerlukan perubahan minda yang baharu dan toleransi terhadap risiko yang lebih tinggi.
   
Kementerian Kewangan berkata adalah penting bagi Malaysia mewujud lebih banyak peluang untuk memadankan pelabur budiman dengan pendanaan swasta bagi pembiayaan peringkat awal dan mengurangkan kebergantungan terhadap pendanaan kerajaan.
   
Kerajaan pula akan terus memainkan peranan dalam memudah cara perlaksanaan dasar yang bersesuaian.
   
Laporan tersebut berkata pembiayaan budiman dapat memenuhi jurang antara pembiayaan tidak formal oleh pengasas, keluarga, rakan-rakan dan pembiayaan modal teroka yang formal dengan saiz pelaburan antara US$25,000 dan US$500,000.
   
Pada 2004, Cradle Fund Sdn Bhd telah ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan untuk mentadbir pendanaan peringkat awal bagi membantu syarikat permulaan mengkomersilkan produk dan perkhidmatan mereka.
   
Pada akhir Julai tahun ini, Cradle telah memainkan peranannya sebagai pemangkin dengan membiayai 477 projek prasemai, di mana kira-kira 209 projek telah siap dan 55 peratus daripadanya telah pun dikomersilkan.
   
Pada akhir 2010, dua kelab budiman persendirian telah ditubuhkan iaitu  Virtuous Investment Circle dan PIKOM Angels.
   
Menjelang akhir tahun ini, kerajaan bakal melancarkan Jaringan Perniagaan Budiman Malaysia (MBAN) untuk mengemudi arah perjalanan pelaburan budiman di Malaysia, serta memudahkan pelaburan bersama antara pelabur budiman negara, Asean dan rantau lain. (Bernama)

No comments:

Post a Comment