Saturday 22 September 2012

40,000 SISWAZAH IPT MASIH MENGANGGUR?





KUALA LUMPUR : Seramai 40,000 siswazah Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara masih mencari pekerjaan berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan 2011 yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi KPT.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPT, Datuk Omar Abd Rahman berkata angka itu melibatkan siswazah yang gagal mendapat pekerjaan tetap meskipun  selepas enam bulan tamat pengajian.

"Setiap tahun, kita buat kajian ini dan tahun lalu, menunjukkan peratusan graduan yang masih belum bekerja ialah 21 peratus terdiri daripada IPTA dan 27 peratus IPTS. Manakala, 28 peratus daripada Politeknik dan 35 peratus Kolej Komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional (My3L) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau terdapat segelintir siswazah ditawarkan pekerjaan secara sambilan memandangkan belum terdapat kekosongan jawatan tetap yang sesuai dengan kelulusan mereka.

Sehubungan itu, Omar berkata KPT mengambil beberapa inisiatif menyelesaikan permasalahan itu, antaranya giat bekerjasama dengan industri pekerjaan di negara ini bagi memudahkan siswazah mendapat akses peluang pekerjaan.

Namun menurut Omar, antara faktor penyumbang kepada siswazah tidak mendapatkan pekerjaan ialah kerana mereka ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, kelulusan siswazah tidak mengikut kehendak industri serta industri tidak memberi peluang kepada mereka.

Terdahulu dalam ucapannya, Omar berkata tahun ini kerajaan melalui 15 kementerian menyediakan 2,612 kursus di bawah program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Bagi memudahkan orang awam memperoleh maklumat berhubung program itu, satu Direktori PSH peringkat nasional sesi 2012/2013 dibangunkan dan bakal dilancarkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, katanya.  

Karnival My3L bertemakan 'Belajarlah Tanpa Henti' itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan menyediakan 100 ruang pameran dengan disertai 15 kementerian dan pelbagai agensi kerajaan dan swasta. (Bernama)

No comments:

Post a Comment