Tuesday 25 September 2012

ANWAR HARAP DAPAT GUNA JET EKSEKUTIF




KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekiranya ada peluang, beliau mahu menggunakan jet eksekutif yang dipinjamkan kepadanya untuk kegunaan semasa pilihan raya umum.

Katanya jet eksekutif yang dinaikinya bersama pimpinan pembangkang lain baru-baru ini dari Terminal SkyPark Subang ke Labuan, Sabah adalah atas persetujuan daripada seorang kenalan.

Bagaimanapun Anwar tidak mendedahkan pemilik pesawat berkenaan, sebaliknya menjelaskan bahawa semua rekod mengenai jet tersebut boleh didapati daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

"Saya tak ada masalah (naik jet). Kalau ada ruang, saya nak pinjam lagi khasnya ketika pilihan raya umum," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Pendedahan gambar Anwar dan beberapa pemimpin pakatan pembangkang yang lain menaiki jet tersebut menimbulkan reaksi mengejut penyokong Barisan Nasional (BN), kerana menurut mereka, pemimpin pakatan itu sebelum ini seringkali mendakwa pemimpin kerajaan BN yang hidup mewah dan membazir.

Anwar mendakwa beliau dihubungi lelaki itu (pemilik jet) untuk membantu perjalanannya dari Kuala Lumpur ke Labuan dan Sabah dan beliau (Anwar) bersetuju.

"Saya semak jika wujud unsur berkepentingan (pemilik jet) di Selangor, tapi tak ada. Saya bimbang juga kalau dia nak tanah atau kontrak di Selangor...tapi tak ada," kata Anwar. (Bernama)

No comments:

Post a Comment