Thursday 6 September 2012

APA MOTIF PRESS 'SERANG' KETUA PEMUDA PAS?





Saudara Pengarang,

SAYA berasa hairan kenapa Mohd Zaki Harry Susanto, Setiausaha Persatuan Rumpun Etnik Suluk Sabah (PRESS) begitu terdesak sehingga mengadakan siri Laporan Polis terhadap Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu berhubung kenyataan beliau yang pada saya tiada apa-apa yang menggugat mereka; apatah lagi setelah beliau mengeluarkan kenyataan balas memberi penjelasan berhubung keadaan yang sebenar.

Saya juga berketurunan Bajau-Suluk, amat yakin bahawa Lahirul Latigu bercakap dalam konteks Undang-Undang Native itu sendiri iaitu, Interpretation (Definition of Native) Ordinance (Sabah Cap.64) tentang memperkasakan undang-undang ini dengan memasukkan terma atau suku-suku kaum terbabit yang disebut sebagai masyarakat asal Sabah (People Indigenous to Sabah) dalam artikel 2 (1) (a) ordinan berkenaan.

Hal ini disebabkan, pendefinisian suku kaum yang diiktiraf hanya dikenalpasti melalui penyelidikan-penyelidikan; tetapi tidak dimasukkan dalam undang-undang native Sabah sebagai undang-undang yang sah. Sedangkan, suku kaum Suluk, Kagayan, Simunul, Sibutu dan Ubian tertentu yang dimasukkan secara spesifik dalam ordinan berkenaan.

Tindakan terus-menerus mendesak oleh Mohd Zaki Harry Susanto dengan membuat beberapa laporan polis (Tawau dan Kota Marudu) seolah-olah mempunyai agenda serta ada “Udang Di Sebalik Batu” yang jelas mengaib serta memalukan peribadi Lahirul Latigu dan seluruh organisasi Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah.

Mohd Zaki sepatutnya perlu lebih bersifat rasional, apatah lagi dengan sandaran jawatan yang diamanahkan olehnya selaku Setiausaha dan pemimpin sesebuah organisasi yang memperjuangkan hak dan nasib suku kaum tertentu di negeri ini.

Bukan menggunakan emosional akal dan nafsu dengan mengutip satu dua kenyataan di akhbar-akhbar harian dengan tidak mengenalpasti kesahihan dan pucuk pangkalnya, lantas menjadikan ia sebagai serangan bertubi-tubi untuk membunuh peribadi seseorang sedangkan kenyataan balas telah dibuat untuk menjernihkan suasana.

Mohd Zaki dan seluruh organisasinya sepatutnya perlu lebih fokus memperjuangkan dan menjaga kebajikan suku kaum yang mereka wakili tatkala masih ramai lagi yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Bukan dengan cara berpolemik dengan menjatuhkan orang lain. Tindakan ini pada saya tidak lebih dari ingin mendapat pengaruh dan perhatian.

Saya mencabar Mohd Zaki ini, kalau betul ingin mendapat nama dan pengaruh, keluar dari topeng berstatus NGO. Masuk politik, biar kita bertarung dalam dunia politik.

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah juga member tempoh selama tiga (3) hari kepada Mohd Zaki untuk menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap Lahirul Latigu.

Sekiranya gagal berbuat demikian, maka secara automatiknya saya mengeluarkan arahan kepada seluruh Pemuda PAS Kawasan seluruh Sabah untuk tampil membuat laporan polis terhadap Mohd Zaki ini.

Beliau harus sedar akan tindakan ini, apatah lagi apabila sudah melakukan tindakan laporan polis. Adakah mereka ini mendapat nasihat yang betul daripada peguam mereka? Atau tindakan membabi buta untuk memuaskan dendam?. Saya ingin tegaskan, jika mereka boleh berbuat demikian, kami daripada Pemuda PAS juga boleh berbuat demikian bagi melindungi ketua kami, Lahirul Latigu.

Salam Hormat,

MOHD ZULFIKAR ABD MIJAN
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah

No comments:

Post a Comment