Monday 10 September 2012

APEC SOKONG DEKLARASI KAZAN





Oleh :  SHANTY DEVI AYADURAI

VLADIVOSTOK : Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-20 berakhir di sini, pada Ahad, dengan 21 ekonomi anggota bersetuju untuk bertindak menyelesaikan banyak isu dan tindakan yang dicadangkan yang telah dibincangkan selama setahun bagi mencapai matlamat bersama mereka meneruskan perpaduan dan kemakmuran serantau.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jaminan makanan diberikan perhatian serius dalam mesyuarat itu, dengan Deklarasi Kazan bagi Jaminan Makanan APEC disokong oleh semua pemimpin.

Deklarasi Kazan ialah pelan hala tuju bagi menentukan langkah-langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan mengukuhkan pengedarannya dalam persekitaran perdagangan bebas dan menangani isu-isu seperti manipulasi harga makanan manakala pada masa yang sama menggalakkan faktor-faktor pengeluaran makanan.

Satu bilion daripada tujuh bilion penduduk dunia sekarang berdepan isu kekurangan makanan, dan ketika penduduk pada 2050 dijangka meningkat kepada 9.3 bilion, jaminan makanan menjadi satu isu kritikal yang boleh membawa impak kepada masa depan, kata Najib semasa memberi taklimat kepada media Malaysia mengenai hasil daripada mesyuarat pemimpin-pemimpin APEC itu, di sini, Ahad.

Perlu ada galakan bagi pengeluaran dan langkah-langkah untuk memastikan petani yang mengeluarkan makanan mendapat keuntungan seimbang daripada pengeluaran mereka, kata beliau.

"Kita perlu mengenal pasti kaedah-kaedah untuk mengedarkan makanan dengan cekap," kata beliau sambil menambah pengurangan pembaziran dan penyediaan tempat penyimpanan dan logistik yang lebih baik akan memastikan peningkatan keuntungan bagi petani dan nelayan.

Dengan keuntungan yang lebih baik, akan ada lebih banyak pengeluaran makanan, kata beliau.

Najib juga berkata manipulasi harga makanan perlu ditangani.

Perdana Menteri berkata inovasi juga diberi tumpuan pada mesyuarat itu walaupun masa agak terhad.

"Ini merupakan bahagian penting kerana ia akan menjana sumber pendapatan baharu bagi ekonomi," kata beliau.

Mengenai pendidikan, Najib berkata idea mobiliti dibincangkan bagi memastikan pindahan kredit dalam universiti di rantau ini dapat dilaksanakan. (Bernama)

No comments:

Post a Comment