Friday 14 September 2012

BANDAR BARU DI SELAGON BEAUFORT





SALAM.....Azizah bersalaman dengan seorang Ahli Majlis Daerah Beaufort selepas uapacara menandatangani watikah perlantikan di hadapan beliau dan Wong (kanan).

Oleh : ABU BAKAR ESAH

BEAUFORT: Sebuah kawasan yang di kenali sebagai Selagon di sini dijangka akan menjadi sebuah bandar baru, sekali gus mampu meningkatkan ekonomi daerah Beaufort.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun ketika membayangkan cadangan itu berkata bandar pembangunan bandar baru itu akan menjadi katalis pembangunan bandar sekitarnya.

“Sukacita juga saya maklumkan bahawa terdapatnya cadangan membangunankan bandar baru di Selagon kelak yang akan dilaksanakan secara pintar, terancang bersepadu bersepadu. Bandar ini pastinya akan menjadi katalis kepada pembangunan di sekitarnya dan akan menjadi pilihan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Beaufort bagi Penggal 2/2012, di Bilik Mesyuarat Majlis daerah Beaufort (MDB).

Hadir sama, Pengerusi MDB, merangkap Pegawai Daerah Beaufort Wong Foo Tin, Setiausaha Eksekutif Majlis MDB Kusnadi Munawar dan Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Aliasneh.

Seramai 20 Ahli Majlis Daerah (AMD) mengangkat sumpah dan menandatangani watikah perlantikan di hadapan Azizah dan Penegrusi MDB yang juga Pegawai daerah Beaufort, Wong Foo Tin.

Upacara melafazkan sumpah dan diketuai Saridah Datuk Seri Panglima Mohd Dun.

Senarai AMD yang dilantik ialah Apok Laitui, Goh Chit Yong, Peter Tseu Yin Khee, Yunus Abd Rajah, Ismail Kambar, Ag Othman Pg Gamok, Fatimah Asiah Ibrahim, Maaruf Juslim, Chua Hu Thiam, Junaidi Matsuali, James Digi, Jali Nordin, Chong Chai Yun, Aminudin Mohd Yaakub, Ismail Masah, Paul Lagang, Norzain Anin @Maimunah, Azimin Rahim, Lil Kiplee Kadir.

Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias mengingatkan AMD bahawa perlantikan itu suatu amanah dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan dengan sebaiknya bagi memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

“Ahli majlis atau kaunselor daerah perlu bersikap tegas dalam hal ini dan berani membuat tindakan, keputusan atau perubahan, jika difikirkan ada keperluan dan bersesuaian demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merupakan 'kerajaan ketiga' dan yang terhampir dengan masyarakat yang bermakna prestasi PBT yang cemerlang akan mencerminkan imej kerajaan yang baik.




SUMPAH......Saridah (tengah) mengetuai upacara lafaz sumpah pada majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Beaufort, kelmarin.

“Setiap ahli majlis perlu sedar bahawasanya tuntutan terhadap perkhidmatan kerajaan yang lebih baik telah menjadi agenda utama masyarakat. Orang ramai sudah semakin matang dan berpengetahuan, justeru mereka berkehendakkan perkhidmatan yang bukan sahaja terbaik, tetapi perlu ditambah baik; misalnya berkaitan aktiviti PBT, maklumat pegawai untuk dihubungi, maklumat cukai dan seumpamanya.

AMD juga katanya mesti berperanan menghapuskan amalan birokrasi serta mewujudkan persekitaran dan budaya PBT yang berintegriti, cepat dan tepat.

“Satu daripada mekanismenya dengan mewujudkan prosedur kerja yang 'transparent' dan jelas serta menetapkan standard untuk setiap proses kerja.

“Ahli-ahli majlis perlu memastikan setiap tindakan dilakukan secara bersepadu dengan agensi lain di kawasan terbabit supaya setiap tindakan yang diambil itu memberi kesan terbaik dan menyeluruh,” katanya.

Azizah juga turut meminta MDB merangka dan menyusun perancangan jangka panjang soal kebersihan dan keindahan, kerana kedua-dua faktor itu saling berkaitan dalam menjana kemajuan daerah.

No comments:

Post a Comment