Sunday 23 September 2012

BELIA LESTARI NEGARA MAJU 2020





Oleh :  RIDZAL ABDULLAH

LAHAD DATU : Golongan belia adalah tunggak harapan negara yang bakal mewarnai dan mewarisi kepimpinan di masa akan datang, terutama melestarikan status negara maju 2020.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur menyeru belia khususnya di daerah ini agar bersatu-padu dan saling nasihat menasihati untuk menjauhi gejala sosial.

“Apabila golongan belia cenderung berpersatuan, maka kesepaduan dan persefahaman mudah dibentuk, wujudnya persatuan-persatuan belia secara langsung dapat menlahirkan belia yang berdisiplin dan akan tersemai perasaan cintakan negara; sekaligus mengelak daripada melakukan aktiviti sosial yang kurang sihat seperti penyalahgunaan dadah, rempit dan sebagainya,” katanya semasa menerima kunjungan hormat daripada Gabungan Persatuan Belia Tiga Daerah (3D) Zon Lahad Datu,  di pejabat beliau petang tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri itu juga megumumkan akan memberi bantuan pakaian seragam persatuan dan perkhidmatan internet Wi-Fi di kawasan pejabat Belia dan Sukan Lahad Datu bagi tujuan memberi keselesaan kepada ahli-ahli persatuan belia.

“Saya berharap agar jalinan dan sokongan yang telah diberikan ini akan berterusan dan memberi manfaat baik kepada semua pihak dan bagi pihak saya akan terus memberi bantuan kepada golongan belia secara berterusan,” katanya.

Setiausaha Gabungan Belia 3D, Mohd.Khalid Sulaiman, berucap kepada pemberita berkata pihak mereka amat berterima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Nasrun kerana menghargai dan mengambil berat permasalahan yang dihadapi oleh golongan belia di daerah ini.

“Kami amat terharu dengan kesungguhan Yang Berhormat untuk membimbing dan membantu kami, ternyata beliau bukan sahaja ahli politik yang berjiwa rakyat malah berjiwa muda kerana mampu menyelami hati kami,” kata Khalid.

Kunjungan hormat yang julung kali diadakan di daerah ini melibatkan 10 buah persatuan belia diwakili oleh Pengerusi Dan Setiausaha masing-masing dari daerah Lahad Datu dan Tungku itu telah membawakan beberapa usul dan permohonan untuk membantu golongan belia.

No comments:

Post a Comment