Monday 3 September 2012

CERAMAH UMUM PR LABUAN DITANGGUH?





Saudara Pengarang,
 
DENGAN rasa kesal, kami terpaksa mengumumkan mengenai perubahan tempat untuk Ceramah Umum Pakatan Rakyat (PR) yang dijadualkan pada 15 September ini ke satu lokasi yang akan diumumkan kemudian. Buat masa ini, kami masih mencari lokasi lain untuk tujuan tersebut.

Penggunaan Dewan Foochow untuk Ceramah Umum PR yang dijadualkan pada 15 sept pada dasarnya sudah diperolehi apabila resit resmi bayaran tunai sebanyak RM2,200.00 untuk tujuan tersebut dikeluarkan pada 8/8/2012 oleh Champion Sport Trophy, sebuah syarikat yang diamanahkan oleh Pengurusan Persatuan Foochow untuk pengendalian dewan tersebut.

Namun demikian, kami di beritahu mengenai pembatalan tempahan tersebut melalui surat resmi yang ditandatangani oleh Presiden Persatuan Foochow Labuan yang disampaikan kepada kami bertarikh 27/8/2012, iaitu 19 hari selepas mendapat kelulusan resmi dari syarikat pengendali dewan tersebut.

Pihak kami cuba membuat rayuan di atas pembatalan tersebut pada hari yang sama dan pihak pengurusan berjanji akan menilai semula keputusan tersebut dan akan mengumumkannya kepada kami selepas mengadakan satu mesyuarat AJK pengurusan Persatuan Foochow.

Pada 1 September, kami diberitahu bahawa keputusan mesyuarat pengurusan memutuskan untuk kekal membatalkan tempahan kami.

Jangkamasa 19 hari yang terpaksa mereka ambil untuk membatalkan tempahan kami yang sudah disahkan atas alasan tidak membenarkan dewan tersebut digunakan oleh Parti dan aktiviti politik menjadi satu tandatanya kepada kami.

Mereka seharusnya lebih bertanggungjawab dan peka akan kesulitan kesulitan yang terpaksa kami hadapi disebabkan tindakan mereka kerena majlis tersebut dijadualkan hanya dalam masa dua minggu dari sekarang. Begitu juga dengan perbelanjaan untuk kos percetakan media yang sudah dibuat dalam menyediakan beribu ribu flyer, banner dan backdrop yang sudah tidak dapat digunakan lagi.

Kesulitan pihak pembangkang untuk mengadakan ceramah politik di dewan serba guna dan premis agensi kerajaan bukan sesuatu yang baru di negara kita dan ia tidak seperti yang digambarkan.





Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selama ini berhasrat mahu melaksanakan tranformasi politik di negara ini yang memberikan kebebasan kepada parti politik menerangkan dasar-dasar parti kepada rakyat secara terbuka. Namun di sebalik kemampuan Umno dan BN memonopoli media cetak serta elektronik untuk menjelaskan dasar-dasar politik mereka, pembangkang hanya mampu menggunakan saluran ceramah di kampung-kampung atau tempat-tempat persendirian.

Sekiranya hak itu pun dipertikaikan, bagaimana pihak pembangkang mampu menyampaikan dasar parti mereka untuk dinilai rakyat dan seterusnya menikmati demokrasi demi mewujudkan persaingan sihat dan menyampaikan wadah politik masing-masing?

Aktiviti seperti ini harus dilihat turut mempunyai unsur kemasyarakatan kerana ia menyediakan satu platform kepada rakyat biasa dalam menyediakan pilihan yang lebih terbuka di samping mendengar sendiri banyak penjelasan mengenai tohmahan yang selama ini dilontarkan kepada pihak pembangkang dalam seluruh jentera media cetak dan elektronik kerajaan untuk rakyat nilai kebenarannya.

Kenapa ceramah umum pembangkang untuk menjelaskan realiti sebenar untuk rakyat nilai sendiri terus disekat? Tidak cukupkah dengan media arus perdana dan saluran media elektronik yang mempromosi mereka dan menghentam pembangkang 24  jam setiap hari?

Salam Hormat,


PKR LABUAN

No comments:

Post a Comment