Monday 24 September 2012

DUNIA WAJAR KUTUK AKTIVITI ANTIISLAM




KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata filem antiIslam 'Innocence of Muslims' dan karikatur yang menghina Nabi Muhammad S.A.W dalam majalah Perancis, Charlie Hebdo, merupakan penghinaan kepada umat Islam dan wajar dikutuk oleh pemimpin-pemimpin di seluruh dunia.

Beliau berkata penghasilan filem dan karikatur itu adalah perkara yang tidak berfaedah dan telah menyinggung perasaan mereka yang berpegang kepada agama Islam.

"Charlie Hebdo mungkin tidak melanggar undang-undang Perancis dalam mencetak karikatur itu, namun kita pertikaikan etikanya dalam membuat sesuatu keputusan," katanya dalam entri terbaru Blog 1Malaysia.

Najib berkata penghasilan video filem itu pula menimbulkan provokasi lebih-lebih lagi pada masa kini yang keadaannya telah sedia genting.

Sehubungan itu, Najib menyeru umat Islam supaya terus bertindak secara aman dan bukannya berpaling kepada keganasan untuk menunjuk perasaan.

"Kini, kita seharusnya meningkatkan lagi penghormatan, toleransi dan persefahaman antara satu sama lain agar kita dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai.

"Oleh kerana inilah kita di Malaysia telah menjemput negara-negara lain tidak mengira bangsa dan agama untuk menyertai kita dalam perlaksanaan 'Global Movement of the Moderates' (Pergerakan Kesederhanaan Global)," katanya.

Filem 'Innocence of Muslims' itu, yang diarah Sam Bacile dari California, Amerika Syarikat, juga mendapat kecaman di seluruh dunia. (Bernama)

No comments:

Post a Comment