Friday 14 September 2012

FIESTA MALAYSIA BAKAL TARIK 10,000 PENGUNJUNG




Oleh : SHAIMON S JUMADI

DIJANGKAKAN lebih 10,000 ribu warga Sandakan yang terdiri daripada pelbagai suku kaum akan membanjiri Padang Perbandaran Sandakan pada 16 September 2012 bagi menyaksikan pertunjukkan  tarian dan kesenian kebudayaan  daripada pelbagai suku kaum di Sabah sempena  Fiesta Hari Malaysia 2012.

Program yang bakal bermula pada jam 6.30 petang anjuran bersama Pejabat Perhubungan Ahli Parlimen Sandakan dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) akan mengetengahkan beberapa penyanyi sensasi tempatan antaranya yang pernah mengharumkan nama Negeri Sabah di persada seni suara di peringkat kebangsaan iaitu johan AF 6 tahun 2008 Stacy dan beberapa artis Sabah termasuk Abu Bakar Ellah (Ampal).

Ahli Parlimen Sandakan yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong akan menyempurnakan sambutan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur gabungan memberitahu kepada media tujuan menyambut Fiesta Hari Malaysia  ke 49 pada 2012 itu adalah sebagai memperingati Pembentukan Kerajaan Malaysia pada 16hb September  1963.
Program ini juga untuk menjalinkan perpaduan bagi  menyuntik semangat kerjasama yang erat di kalangan rakyat berbilang kaum yang ada di daerah Sandakan.

Di samping itu juga bagi mempromosikan dan menonjolkan tarian-tarian  tradisional daripada 32 suku etnik yang ada di Sabah  khusus di mata para pelancong  asing yang kerap  berkunjung ke daerah Sandakan.

No comments:

Post a Comment