Wednesday 5 September 2012

GANGNAM STYLE KEGILAAN MUDA MUDI





Oleh: USTAZ AHMAD FADHLI SAARI

JIKA diikutkan kepada bentuk fizikal, Jae-Sang Park atau nama timangannya Psy, bukannya seorang yang kacak. Bentuk badannya yang agak gempal berbeza dengan syarat ketampanan aktor Korea iaitu kurus dan kacak. Bahkan jika dilihat sekali imbas kepada Psy, barangkali tiada yang boleh menarik perhatian ramai. Namun, sebuah video klip yang dimuat naik ke laman You Tube pada 15 Julai 2012 lalu telah merubah keseluruhan hidup Psy.

Itulah fenomena Gangnam Style. Bukanlah niat saya untuk mempromosi tarian yang menjadi kegilaan anak-anak muda sekarang ini, tetapi sekadar mengambil satu pengajaran, nampaknya ada perkara yang boleh dikongsikan.

Saya terbaca kata-kata Psy, “Selama 12 tahun saya berkecimpung dalam arena muzik Korea dan membuat pelbagai tarian ‘bodoh’, namun peminat tidak sekalipun berpaling kepada saya kerana secara visual, saya memang kalah dengan selebriti kacak lain yang ada. Saya cuma dikenali di sana kerana saya tidak terlalu mencuba, tidak dipromosikan malah tidak pernah terfikir pun hendak tembus ke luar negara. Semua yang berlaku sekarang pun hanya gara-gara YouTube mahupun twitter dan inilah dia pembuka periuk nasi sebenar saya…”

Hari ini, 5 September 2012, klip video Gangnam Style telah ditonton lebih 102 juta umat manusia di seluruh dunia. Kelihatan sepintas lalu, tarian ini tidak lain hanyalah aksi menunggang kuda yang dipamerkan melalui gerak kaki yang pelik, tetapi gabungan warna yang menceriakan persembahan barangkali menarik minat golongan kanak-kanak sehinggalah dewasa.

Inilah bukti bagaimana You Tube telah menjadi sebahagian hidup manusia moden pada hari ini. Sebelum Psy, kita telah mendengar bagaimana kemunculan Justin Beaber yang juga popular melalui You Tube. Begitu juga beberapa nama di Malaysia seperti Najwa Latiff serta populariti seumpama Cikgu Shida dan Mat Luthfi juga mencipta nama melalui You Tube.

Tidak ketinggalan pada asatizah seperti Ustaz Azhar Idrus yang mulanya dikenali sebagai Ustaz Youtube yang rakaman kuliahnya dipotong pendek-pendek mengikut persoalan-persoalan yang diajukan di dalam kuliahnya. Ia agak menarik dan akhirnya mencetuskan fenomena.

Lebih menarik, fenomena Ustaz Azhar Idrus telah memikat bukan sahaja orang yang biasa berminat dengan kuliah agama, bahkan anak-anak muda yang kebiasaannya sukar untuk diajak ke masjid. Ustaz Azhar Idrus mampu melakukannya.

Dalam konteks parti politik, bagaimana mencetuskan fenomena melalui You Tube? Sekurang-kurangnya menjelang pilihanraya umum 13 ini, biar satu fenomena hebat terjadi. Adakah perlu belajar daripada Gangnam Style?


No comments:

Post a Comment