Saturday 22 September 2012

GENG PECAH RUMAH TUMPAS




BERJAYA....Jauteh menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada suspek.

Oleh : RUZAINI ZULKIFLI

KOTA KINABALU: Sembilan individu ditahan polis setelah didapati terlibat dalam sembilan kes pecah rumah didalangi seorang bekas banduan yang arif meleraikan kunci mangga.

Kesemua suspek termasuk dua wanita tempatan berusia 20 hingga 42 tahun itu telah ditahan dalam serbuan berasingan baru-baru ini termasuk di Petagas, Menggatal dan Indah Permai pada Sabtu lepas.

Menerusi tangkapan yang turut membabitkan seorang suspek lelaki tempatan berusia 22 tahun yang dipercayai ketua kumpulan geng itu, polis akhirnya berjaya menyelesaikan sembilan kes pecah rumah di sekitar Inanam dan Menggatal yang berleluasa sejak Jun tahun lalu.

Difahamkan siasatan awal mendapati dalang terbabit amat pakar membuka kunci mangga tidak sampai 15 saat hanya ‘bersenjatakan’ pemutar skru atau ‘allen key’.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata dalam serbuan berkenaan, pihaknya telah merampas sebahagian besar barangan yang telah dicuri beranggaran RM95,000.

“Antara yang dirampas ialah 15 telefon bimbit, 13 televisyen LCD, 19 utas jam tangan, 17 jenis barangan kemas dan 13 komputer riba selain peralatan yang digunakan untuk tujuan jenayah berkenaan termasuklah pemutar skru dan allen key,” katanya.

Menurut Jauteh, kumpulan itu dipercayai mula ditubuhkan sekitar Jun tahun lalu ketika ketua kumpulan terbabit keluar dari penjara.

“Kita mendapati kumpulan ini bergiat aktif melakukan kegiatan pecah rumah di kawasan Inanam dan Menggatal dengan mensasarkan rumah flat.

“Kebanyakan waktu mereka melakukan pecah rumah adalah di sebelah siang hari di mana pada ketika itu mangsa tidak berada di rumah kerana berkerja,” katanya.

Mengulas lanjut modus operandi kumpulan terbabit, Jauteh menerangkan mereka akan memulakan ‘operasi’ dengan terlebih dahulu mengetuk pintu rumah mangsa dan sekiranya rumah itu berpenghuni, mereka akan berpura-pura bertanyakan sesuatu sebelum beredar.

“Jika tiada maklum balas, barulah mereka memecah masuk kediaman itu dengan menggunakan kepakaran suspek tadi membuka kunci rumah mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu kelmarin.

Jelas Jauteh, kejayaan tangkapan terbabit adalah ekoran laporan polis yang dilakukan pengadu sebelum ini termasuk kali terakhir pada Jumaat lepas.

“Hasil siasatan, satu serbuan dilakukan pada Sabtu lalu di sebuah bengkel di Kampung Peringatan, Petagas kira-kira jam 12.15 tengah malam dan telah menahan lima individu termasuk dua wanita.

“Selepas itu, dua lagi serbuan berasingan dibuat pada hari yang sama di Taman Fajar, Menggatal dan Indah Permai di sini kira-kira jam 8.30 malam. Dalam serbuan itu, empat lagi suspek diberkas,” katanya.

Kemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. (UB)

No comments:

Post a Comment