Sunday 9 September 2012

HARI MALAYSIA DI MATA UMNO




Saudara Pengarang,

HARI MALAYSIA merupakan hari memperingati penubuhan Malaysia secara rasminya pada 16 Septembar 1963; sebagaimana yang terkandung dalam perjanjian Penubuhan Malaysia pada 9 September 1963. Tarikh keramat tersebut menandakan penubuhan negara baru iaitu Persekutuan Malaysia yang mengabungkan Negara Persekutuan Tanah Melayu, Negara Singapura, Negara Sabah dan Negara Sarawak.

Sehingga hari ini Persekutuan Malayasia masih lagi bertahan walaupun Negara Singapura telah menarik diri sebagai rakan anggota Persekutuan Malaysia selepas berpisah pada tahun 1964.

Parti politik UMNO yang menjadi Ketua Pemerintah Persekutuan Malaysia dilihat masih tidak mahu mengiktiraf bahawa Sabah dan Sarawak adalah dua buah 'NEGARA' yang bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia; sebalikinya memutar belitkan fakta perjanjian 9 Julai 1963 dengan menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu sebagai negeri ke-12 dan ke-13.

Dengan itu, UMNO yang kononnya memperjuangkan Hak-Hak Orang Melayu di Semenanjung Malaysia berjaya menjajah minda rakyat Sabah dan Sarawak. Pemimpin UMNO juga sedaya upaya cuba menghakis sejarah Penubuhan Malaysia agar semua rakyat Sabah dan Sarawak percaya bahawa mereka adalah negeri ke-12 dan ke-13 dalam Malaysia.

Sebenarnya, apakah maknanya Hari Malaysia di mata pemimpin UMNO? Mengapakah Hari Malaysia hanya diraikan di seluruh Malaysia buat pertama kali pada tahun 2010, sedangkan penubuhan Malaysia telah berlaku pada tahun 1963?

Bukankah ini bermaksud bahawa selama 47 tahun pemimpin UMNO telah berjaya menutup sejarah ini dari pengetahuan rakyat Sabah dan Sarawak. Pemimpin UMNO melaungkah Gagasan 1Malaysia, tetapi kenapa Hari Malaysia disambut sebagai kelas 2 berbanding hari kemerdekaan Tanah Melayu 1957?

Bagi pemimpin UMNO, yang manakah lebih bererti bagi mereka di antara tarikh kemerdekaan Tanah Melayu 1957 atau Hari Malaysia 1963? Ada orang mengatakan bahawa tiada 31 Ogos 1957, maka tiadalah juga 16 September 1963.

Tetapi persoalannya Sabah juga merdeka pada 31 Ogos 1963 dan Sarawak pada 22 Julai 1963, tetapi kenapa pula pemimpin UMNO perlu memaksa rakyat Sabah dan Sarawak melupakan tarikh kemerdekaan 'Negara' mereka sebelum diperdaya bergabung membentuk Malaysia pada 16 September 1963? Kenapa rakyat Sabah dan Sarawak perlu menyambut satu perayaan yang bukan milik mereka?

Perkara asas ini perlu diperbetulkan dahulu sebelum bercerita tentang masa hadapan dan Gagasan 1Malaysia. Pemimpin UMNO masih belum terlambat memperbetulkan keadaan; namun ramai rakyat Sabah dan Sarawak yang menghayati penubuhan Malaysia berkata; "UMNO sudah terlambat dan sudah tiada maaf bagi mu".

Apa pun hanya takdir yang menentukan sampai bila gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dapat bertahan. Kesatuan Soviet Union yang hebat telah ditubuhkan pada 1922 dan akhirnya berpecah selepas 69 tahun pada 1991.

Maka, tidak hairanlah kerana keegoan pemimpin UMNO Persekutuan Malaysia juga boleh berpecah satu hari nanti. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke tanah.

Salam Hormat,

BENJY STANIS

No comments:

Post a Comment