Thursday 6 September 2012

HIMPUNAN HIJAU AKAN BUAT SEKATAN





Oleh :   HAZLAN ZAKARIA

KUMPULAN Alam Sekitar Himpunan Hijau berikrar untuk membuat sekatan di Pelabuhan Kuantan sekiranya syarikat pelombong nadir bumi Lynas mula menghantar bahan berkenaan untuk diproses di lojinya di Gebeng.

Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack memberi jaminan bahawa penghantaran itu tidak akan melepasi sekatan mereka.

"Kami akan adakan keingkaran awam terbesar di negara ini dan mengumpulkan semua golongan. Pelabuhan Kuantan tidak akan beroperasi selagi bijih berkenaan berada di situ," katanya.

Kenyataannya itu timbul susulan keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) untuk meluluskan Lesen Pengendalian Sementara (TOL) kepada Syarikat Lynas (Malaysia) Sdn Bhd (Lynas) secara bersyarat, kelmarin.

Kenyataan AELB menyebut, mesyuarat lembaga itu pada hari Isnin lalu berpuas hati bahawa Lynas mematuhi semua aspek teknikal untuk lesen tersebut.

Ia termasuk kaedah kawalan debu serta imobilisasi bahan radioaktif dalam residu, dan keperluan perundangan yang ditetapkan.

"Lembaga juga mengambil maklum bahawa Lynas telah membuat komitmen untuk membawa residu Water Leach Purification (WLP) yang terhasil dalam projek LAMP keluar daripada Malaysia dalam bentuk produk komersial," kenyataan itu dipetik.

Sementara itu, kumpulan yang menentang operasi loji pemprosesan nadir bumi Lynas, Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas (SMSL) berkata mereka akan memfailkan injunksi di mahkamah untuk menghalang lesen operasi sementara (TOL) kepada loji di Gebeng, Kuantan itu daripada dikuatkuasakan.

Seorang jurucakap SMSL memberitahu Malaysiakini bahawa badan tersebut telah mengarahkan peguam mereka supaya memfailkan injunksi berkenaan.

Katanya, injuksi itu sekurang-kurangnya bagi membolehkan dua permohonan semakan kehakiman yang difailkan mereka sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan.

Permohonan semakan kehakiman pertama adalah ke atas penganugerahan TOL kepada loji Lynas oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan satu lagi ke atas keputusan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Maximus Ongkili yang menolak rayuan mereka.

TOL berkenaan, bagaimanapun dikeluarkan oleh AELB kepada syarikat perlombongan nadir bumi Australia itu. (MKINI)

No comments:

Post a Comment