Wednesday 12 September 2012

HUJAN TIDAK HALANG PATRIOTISME




Oleh: RIDZAL ABDULLAH

LAHAD DATU : Hujan lebat tidak mematahkan semangat patriotisme  lebih 5,000 orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 ‘Janji Ditepati’ Peringkat Daerah Lahad Datu pada Sabtu lalu.

Majlis sambutan tersebut diadakan di Dataran Palma dan telah disempurnakan perasmiannya  oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lahad Datu, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur.

Nasrun yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri dalam ucapannya memuji semangat yang telah ditunjukkan oleh rakyat kawasan ini.

“Semangat seperti ini adalah bukti cinta dan sayang kita terhadap negara dan penghayatan pada erti perjuangan bagi mencapai kemerdekaan dan seterusnya menghargai keamanan dan keharmonian yang telah kita nikmati pada masa kini,” ujarnya yang merupakan Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN)  Silam.

Menurutnya, slogan ‘Janji Ditepati’ amat bertepatan kerana kerajaan BN telah memberikan sebaik mungkin dengan membawa pelbagai kemajuan dan pembangunan tanpa sesekali menyisihkan aspek kebajikan rakyat, hal ini berlaku disemua tempat di negara ini termasuk di kawasan Lahad Datu.

“Sejak sekian lama…sama ada kita sedar atau tidak kehidupan kita banyak dipengaruhi oleh sumbangan dan bantuan pihak kerajaan BN, dari bangku sekolah hingga ke peringkat universiti dan ke alam pekerjaan, setiap hari ada sahaja bantuan kerajaan yang kita gunakan tanpa kita sedari, seperti subsidi minyak kenderaan, biasiswa, makanan dan banyak lagi,” katanya.

Beliau turut menambah, Lahad Datu merupakan antara kawasan yang sangat pesat membangun dengan pelbagai kemajuan dari segi infrastruktur dan kemudahan awam.

“Semua adalah atas keyakinan pelabur dan pelabur datang kerana kestabilan ekonomi di bawah pimpinan kerajaan…kita juga amat gembira kerana seperti yang kerajaan negeri telah janjikan.

"Kita akan menikmati sebuah kompleks sukan yang akan dibina pada penghujung tahun ini dan dijangka menelan kos RM12 Juta bagi fasa pertama dan kita berdoa agar lapangan terbang yang baru juga akan dibina dalam masa terdekat,” jelas Ketua Umno Bahagian Silam itu.

Katanya, sikap buruk pembangkang yang hanya pandai mencipta provokasi dan huru-hara hanya akan merugikan rakyat dan beliau menyeru agar rakyat menjauhi sikap buruk yang cuba diserap masuk oleh pihak pembangkang yang kelihatan lebih kepada budaya barat dengan menghina dan memaki hamun pemimpin.


“Itu bukan budaya kita…kita orang timur, orang Asia yang sangat kaya dalam kesopanan dan kesusilaan seperti mana dalam rukun negara yang kita pegang selama ini, oleh itu saya berharap agar rakyat tidak menjejak langkah pembangkang yang sudah jauh terpesong dari perjuangan sebenar bagi membela rakyat dan kini sebenarnya berjuang untuk ‘melaga rakyat’, memecahbelahkan perpaduan yang telah lama terjalin,” kata beliau.

Majlis sambutan tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Lahad Datu, Zulkifi Nasir; Ketua Pegerakan Wanita Umno Silam, Saleha Abd.Wahid; Ketua Pergerakan Puteri, Mizma Appehdullah; Ketua Bahagian MIC Silam, Nagaraju Applasamy; Naib Ketua parti LDP, Chong Su Vun; Pemimpin Kemajuan Rakyat, Aljen Johnny; Pegawai Pembangunan Masyarakat, Amat Paduka Kawoh dan ramai lagi.

Orang ramai juga dihiburkan dengan persembahan daripada artis tempatan seperti Khamis dan Rash selain persembahan kebudayaan daripada suku kaum Idahan, Bajau, Suluk, Kokos dan juga acara cabutan tiket bertuah serta pertunjukan bunga api pada akhir majlis.

No comments:

Post a Comment