Thursday 6 September 2012

IMBAS ECG MENERUSI TELEFON 'EPI-LIFE'




Oleh : ALI IMRAN MOHD NOORDIN

KUALA LUMPUR : Pemeriksaan elektrokardiogram atau lebih dikenali sebagai imbasan ECG akan mengakhiri segala kesulitan, terima kasih kepada pelancaran telefon mudah-alih pintar EPI-Life baru-baru ini.

Ia adalah peralatan pengawasan ECG yang pertama di dunia yang menggabungkan keupayaan ECG ke dalam telefon mudah alih, dan menawarkan perkhidmatan sepanjang masa, di mana dan bila-bila masa sahaja diperlukan oleh pengguna.

Dengan ketepatan bacaan 98 peratus, produk berkenaan bertindak dan berfungsi sama seperti mesin yang biasa digunakan di hospital.

Direka dan dihasilkan oleh EPI Mobile Health Solutions (S) Pvt. Ltd (EMHS), telefon berkenaan menghubungkan pesakit dan pakar perubatan, melalui pengesanan awal masalah jantung.

Dibawa ke Malaysia oleh Heartronics Sdn. Bhd (Heartronics), dengan rakan kongsi Maxis Berhad (Maxis) dan Pantai Hospital di Kuala Lumpur (PHKL), produk berkenaan memberi nilai tambah bagi perkhidmatan berkenaan.

'Health Concierge'

Ketika bercakap kepada pemberita, Professor Dr. Michael C.L. Lim, pencipta EPI, berkata idea untuk menghasilkan telefon ini datang pada 1990.

Bagaimanpun, usaha untuk merealisasikannya terhalang oleh had-had teknologi yang terdapat ketika itu.

Sistem ini disokong oleh sekumpulan profesional perubatan yang terlatih yang bersedia untuk menterjemahkan sebarang bacaan ECG ke pusat data mereka, yang dikenali sebagai Health Concierge-24 jam.

"Pasukan 'Health Concierge' sentiasa bersiap sedia untuk memberi khidmat kepada pengguna pada bila-bila masa dan sebaik kami menerima data mereka', kata Dr Lim.

Pengguna boleh mengambil bacaan ECG, pada bila-bila masa, dengan hanya memegang telefon berkenaan menggunakan tiga jari.

Dalam tempoh beberapa minit, mereka akan menerima jawapan menerusi satu pesanan ringkas (SMS), yang menyatakan sama ada bacaan itu normal atau sebaliknya.

Pengguna akan dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat pakar perubatan sekiranya sebarang bacaan tidak normal dikesan.

Yang lebih menarik ialah 'Health Concierge' ini juga boleh menghubungkan pesakit ke mana-mana hospital dalam lingkungan rangkaiannya yang terdekat bagi kes-kes kecemasan di seluruh dunia. PHKL ialah penyedia dan rakan kongsi kesihatan yang utama bagi perkhidmatan itu di Malaysia.

Kumpulan Pengguna

Dr. Lim berkata, produk berkenaan direkacipta dan dimajukan untuk kemudahan dan keselamatan bukan sahaja kepada pesakit dengan masalah jantung malahan bagi mereka yang dalam kumpulan berisiko.

Kadangkala, pesakit tidak menyedari bahawa mereka mengalami tanda-tanda masalah berhubung jantung seperti pening, susah bernafas, mual, berdebar-debar atau sakit dada.

Dalam kebanyakan kes, pesakit hanya akan bertemu doktor sebaik tanda-tanda itu menjadi reda, yang membuatkan sukar bagi doktor untuk mengesan tanda-tanda tidak normal dikesan memandangkan pesakit telahpun berada dalam keadaan normal.

Menerusi pengesanan awal, pengguna boleh mendapatkan nasihat awal perubatan sebelum keadaan mereka bertambah serius, senario kes yang teruk boleh membawa kepada kematian mengejut berikutan kegagalan fungsi jantung.

Pengarah Urusan Heartronics Sdn. Bhd, Jean-Michel Mougin, berkata terdapat lima juta rakyat Malaysia yang termasuk dalam kategori pesakit 'berisiko tinggi' yang mudah mengalami masalah jantung.

"Produk ini boleh membantu banyak nyawa mereka yang mempunyai masalah sakit jantung dan yang mempunyai tanda-tanda awal", katanya.

Menurut beliau, mereka yang berada dalam 'risiko tinggi' ini termasuk eksekutif korporat yang sibuk, mereka yang berumur lebih 35 tahun dan yang kerap berjalan ke luar daerah.

"Produk ini juga sangat praktikal dan boleh digunakan di kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak, di mana akses kemudahan kesihatan adalah terhad", kata Mougin.

Cara Hidup

Pada 2008, sebanyak 2,851 kes sakit jantung dilaporkan yang merangkumi 704 wanita dan 2,147 lelaki.

Menurut statistik yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan, satu daripada setiap empat kematian berlaku di hospital awam berpunca daripada penyakit yang berkaitan masalah jantung.

Kaji selidik Kesihatan dan Kematian Kebangsaan 2011 menunjukkan bahawa 20.8 peratus daripada rakyat Malaysia yang berumur lebih 30 tahun menghidap diabetes, satu daripada penyebab utama komplikasi yang berkaitan dengan jantung.

Manakala jurnal antarabangsa 'The Lancet' menyebut dalam satu laporan bahawa 61.4 peratus rakyat Malaysia yang berumur lebih 15 tahun mengharungi gaya hidup tidak aktif apabila ia dikaitkan dengan kerja, kerja di rumah, pengangkutan dan masa rehat.

Makanan sihat yang diambil oleh rakyat Malaysia juga dipersoalkan dan menyaksikan perdebatan awam mengenainya tiada penghujungnya.

Ramai bersetuju bahawa mereka mengambil banyak makanan tidak sihat tetapi tidak sanggup menukar kepada tabiat yang positif.

Oleh itu, pengawasan yang berterusan berhubung kesihatan seseorang boleh membantu rakyat Malaysia dalam mengekalkan status kesihatan yang sihat dan bertindak sebagai langkah untuk mengurangkan sebarang ancaman kesihatan.

Teruskan

Eksekutif rakan kongsi syarikat telefon Maxis akan menyediakan pelan perkhidmatan pelanggan untuk peralatan ini.

Ketua bahagian Produk, Peralatan, Innovasi dan Rerayap, T. Kugan berkata, syarikat berkenaan berusaha agar perkhidmatan kesihatan dapat disalurkan menerusi peralatan mudah alih sebagai satu tumpuan bidang yang penting.

Syarikat ini adalah yang pertama menawarkan satu data mengikut pesanan untuk pelanggannya dengan bayaran serendah RM13 bagi setiap transaksi ECG.

Dengan harga RM2,299 setiap satu, telefon berkenaan boleh didapati di Pusat Maxis di KLCC, Taman Tun Dr. Ismail, Sunway Pyramid dan The Gardens.

Anggota Maxis One Club boleh mendapat tawaran istimewa, di mana mereka boleh menikmati diskaun RM600 sekiranya mereka menandatangani untuk mendapatkan perkhidmatan itu sebelum akhir September dan RM300 jika mereka menandatangani selepas tarikh itu.

Mereka yang berminat boleh melihat produk berkenaan apabila Heartronics menyertai Pameran Jantung 2012, di Pusat Pameran Mid Valley pada 8-9 Sept.

Selain berpeluang mendapat ECG percuma bagi pelawat yang berumur lebih 45 tahun, pengunjung yang bernasib baik juga boleh memenangi sebuah peralatan ini pada setiap hari berkenaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk berkenaan, boleh layari www.heartronics.com.my atau www.maxis.com.my . (Bernama)

No comments:

Post a Comment