Saturday 22 September 2012

ISU TAPAK MASJID BANDAR INDAH SELESAI




TAWAU : Isu tapak masjid di Bandar Sri Indah, kira-kira 17 kilometer dari sini diselesaikan secara baik apabila pihak pemaju, Hap Seng Consolidated Berhad, bersetuju menyediakan tapak seluas 0.20 hektar (setengah ekar) sebagai tapak pembinaan masjid.

Persetujuan dicapai hasil pertemuan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bandar Sri Indah mewakili lebih 1,000 penduduk Islam di situ dengan pihak pengurusan pemaju menerusi usaha Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Pengerusi jawatankuasa pembinaan masjid berkenaan, Arbin Settah berkata penduduk di kawasan perumahan tersebut gembira mendapat satu tapak yang sah di sisi undang-undang.

"Kami berharap dengan adanya tapak ini, bukan sahaja dapat membina masjid tetapi juga sebuah kompleks kecil untuk dijadikan tempat anak-anak penduduk di sini belajar fardu ain dan mengadakan kelas agama," katanya.

Menurut Arbin, pihaknya dengan kerjasama penduduk perumahan Fasa 1 dan Fasa 3 akan berusaha mencari dana bagi membangunkan tapak masjid berkenaan secara bergotong royong dan berharap ia dapat disiapkan dalam tempoh enam bulan.

Dalam pada itu, Tawfiq mencadangkan pihak berkuasa tempatan supaya menguatkusakan sepenuhnya syarat penyediaan tapak masjid bagi pelaksanaan setiap projek perumahan kos rendah dan sederhana di Sabah.

Beliau berkata peraturan seperti itu perlu dijadikan syarat wajib sebelum kelulusan pembinaan projek seumpamanya diberikan kepada pemaju perumahan agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan penduduk beragama Islam mudah melaksanakan tanggungjawab agama mereka.

"Perkara seperti ini mungkin dapat diselesaikan dan tidak akan berulang lagi di Tawau malah di seluruh Sabah sekiranya kita kenakan peraturan kepada pemaju agensi kerajaan atau swasta untuk lebih memikirkan bahawa setiap pembinaan perumahan kos rendah dan sederhana rendah perlu memasukkan syarat menyediakan ruang atau tapak untuk masjid.

"Kebiasaannya perumahan kos rendah dan sederhana rendah ini kebanyakan atau majoritinya dibeli oleh warganegara Bumiputera dan Islam," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemaju Bandar Sri Indah Hap Seng Consolidated dan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bandar Sri Indah di sini Jumaat.

Menurut Tawfiq, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Apas, walaupun syarat berkenaan sudah ada dalam peraturan pihak berkuasa tempatan, namun ia tidak dikuatkuasakan sepenuhnya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment