Friday 21 September 2012

JALIN KERJASAMA NIAGA DUA HALA




PECAH.... Datuk Musa menyempurnakan majlis pecah tanah projek Lahad Datu Business Hub.

Oleh: RIDZAL ABDULLAH

LAHAD DATU : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman mahu melihat wujudnya kerjasama antara syarikat usahawan Bumiputera dan kaum Tiong Hua dalam usaha meningkatkan pembangunan dan kemajuan di negeri ini.

Beliau berkata, usaha tersebut penting dalam mewujudkan suasana yang harmoni selain bersama-sama merancang dan melaksanakan pelbagai bentuk projek pembangunan untuk rakyat.

Tambah Musa, ia juga selaras dengan gagasan 1Malaysia yang telah dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara yang mempunyai pelbagai lapisan masyarakat yang dapat bekerjasama dalam melaksanakan pembangunan Negara.

“Kita tidak mahu melihat usahawan bumiputera hanya (bekerjasama) dengan Agensi Kerajaan Negeri (GLC) sahaja, sebaliknya kita juga ingin melihat (usahawan Bumiputera) bekerjasama dengan kaum Tiong Hua kerana Sabah juga dilihat sebagai sebuah negeri contoh yang dapat mewujudkan kerjasama antara usahawan bumiputera dan kaum Tiong Hua dalam membangunkan negeri ini.

“Sekali gus membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka pelbagai bidang yang berpotensi tinggi dimasa akan datang untuk dimajukan bagi manfaat bersama,”katanya sewaktu berucap dan merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek ‘Lahad Datu Business Hub’, di tapak pembinaanya di Jalan Singgamata, dekat sini,semalam.

Pada majlis itu juga, Musa turut menyaksikan upacara Memeterai Perjanjian Usahasama antara Sabah Urban Development Corporation (SUDC), sebuah anak syarikat milik penuh SEDCO dan Syarikat Megabuild Development Sdn. Bhd (MDSB), sebuah syarikat tempatan yang dimiliki sepenuhnya oleh anak bumipuitera Sabah.

Maka dengan itu katanya, kerajaan juga akan terus memperkenalkan pelbagai usaha untuk menggalakkan kemajuan bumiputera dalam sektor keusahawanan melalui GLC.

“Ini terbukti apabila  Sabah Urban Development Corporation Sdn.Bhd. dan Syarikat Megabuild Development Sdn.Bhd. melaksanakan projek kerjasama dalam pembinaan Lahad Datu Business Hub ini, sekali gus sebagai contoh nyata dasar kita yang melambangkan kesediaan kerajaan melalui GLC untuk memberi bantuan kepada syarikat bumiputera yang berani menangani cabaran sektor perniagaan.

“Kerjasama dalam perlaksanaan projek itu juga adalah selari dengan usaha kerajaan negeri Sabah bagi membangunkan Daerah Lahad Datu sebagai projek kawasan industri berkelompok sawit (POIC) Lahad Datu yang merupakan salah satu daripada komponen dalam koridor pembangunan negeri Sabah (SDC),” katanya lagi.







MERIAH..... Ketibaan Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman disambut meriah oleh penduduk Lahad Datu.







MATERAI.... Datuk Musa menyaksikan upacara Mematerai Perjanjian Usahasama antara SUDC sebuah anak syarikat milik penuh SEDCO dan Syarikat MDSB sebuah syarikat tempatan yang dimiliki sepenuhnya oleh anak bumipuitera Sabah.


 



MODEL... Datuk Musa melakukan lawatan ke pameran model ‘ Lahad Datu Business Hub’ Lahad Datu.

Sementara itu, perlaksanaan projek Lahad Datu Business Hub itu akan menjadi pengorak langkah dalam memajukan projek-projek pembangunan industri hartanah tempatan yang dipelopori sepenuhnya oleh bumiputera tempatan selain dapat menyediakan kemudahan premis perniagaan yang bertaraf moden dan ekslusif.

Projek tersebut mula dilaksanakan September ini di atas tanah seluas 1.67 hektar dengan keluasan binaan melebihi 156,672 meter persegi dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

Apabila siap kelak, ia akan menyediakan 30 unit kedai empat tingkat yang akan menjadi salah satu lagi mercu tanda bagi daerah Lahad Datu.

Dalam pada itu, hadir sama Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu; ADUN Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said; Pengerusi SEDCO, Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif; Pengerusi SUDC, Datuk Juslie Ajirol; Pengarah Urusan MDSB, Mahmud Haji Hussin; Pegawai Daerah Lahad Datu, Zulkifli Nasir dan Ketua Polis Lahad Datu, Superintenden Shamsudin Mat.

No comments:

Post a Comment