Friday 14 September 2012

JALUR LEBAR 4G P1 DILANCARKAN DI SABAH




KOTA KINABALU : Perintis jalur lebar berkelajuan tinggi 4G terkemuka di Asia Tenggara, Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1) telah melancarkan perkhidmatan komersilnya di Sabah.

Rancangan pengenalan secara agresif PI berhasrat untuk meliputi sekurang-kurangnya 80 peratus daripada isi rumah di Kota Kinabalu dalam tempoh enam bulan.

"Dengan kemasukan kami ke Sabah, P1 telah melepasi satu lagi sejarah dalam mencapai matlamat kami memberikan perkhidmatan jalur lebar untuk semua," kata Ketua Eksekutif Michael Lai pada majlis pelancaran oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang di sini Khamis.

Terdahulu tahun ini, syarikat mengumumkan yang ia akan melabur RM30 juta untuk memulakan perkhidmatan itu di Sabah dan Sarawak dan diikuti dengan pelancaran di Kota Kinabalu pada bulan Ogos.

"Kami mahu Malaysia cepat-cepat mencapai tahap penembusan jalur lebar yang dinikmati oleh negara-negara maju dan kami mendahului saranan negara untuk penyertaan sektor swasta untuk mencapai ini," katanya.

Sementara itu, Salang berkata jalur lebar adalah keperluan dan talian hayat baharu untuk perkembangan seperti yang telah terbukti oleh negara-negara seperti Korea Selatan dan Taiwan yang kebanyakan pertumbuhan rancak mereka adalah disebabkan fokus yang jitu kepada pembangunan ICT. (Bernama)

No comments:

Post a Comment