Tuesday 4 September 2012

JPA SABAH DAPAT PUJIAN






KOTA KINABALU: Beberapa amalan pengurusan Jabatan Perkhidmatan Awam negeri Sabah boleh dicontohi negeri lain di samping Kerajaan Pusat.

Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA), Tun Zaki Azmi kelmarin berkata beliau amat tertarik dengan amalan pentadbiran kerajaan negeri untuk mengendalikan pentadbiran perkhidmatan awam.

Katanya, antara pentadbiran efisien yang menarik perhatian ialah kemampuan kerajaan negeri mengurangkan tenaga manusia tanpa menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan awamnya.

Beliau memberikan contoh keupayaan kerajaan negeri mengurangkan kakitangan dalam perkhidmatan awam tanpa mengorbankan kualiti sistem penyampaian.

“Banyak yang kita boleh pelajari daripada Sabah. Tetapi ini tidak bermaksud negeri lain tidak ada kebaikan,” katanya.

Bekas Ketua Hakim Negara itu terdahlu mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman di sini.

Beliau berkata beberapa cadangan turut dibincangkan dengan Sukarti bagi menambah baik perkhidmatan awam di Sabah.

Zaki yang berada di sini bersama tujuh anggotanya berkata hari ini SKMTPA akan mengadakan pertemuan dengan Pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah dan agensi di bawahnya.

Di samping itu, rombongan tersebut juga akan melawat organisasi dan jabatan yang dikenal pasti di Sandakan Rabu ini, katanya.

Sementara itu, Zaki berkata suruhanjaya itu dibentuk awal tahun ini untuk melakukan transformasi terhadap perkhidmatan awam dengan mengambil kira pembangunan wila- yah dan global dan akan membuat cadangan kepada kerajaan.

“Cadangan yang akan dibuat akan memberikan keutamaan terhadap kebajikan kakitangan awam untuk memastikan mereka memberikan perkhidmatan yang adil, fleksibel selain dari terus bersaing,” katanya.

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada awal Jun tahun ini mengumumkan pembentukan Suruhanjaya Kahas itu untuk mengkaji penambahbaikan perkhidmatan awam agar lebih komprehensif dan holistik.

Enam anggota suruhanjaya itu ialah bekas Ketua Setiausaha Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Ismail Adam, bekas Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Haji Mohd Dom, bekas Ketua Audit Negara,Tan Sri Dr Hadenan A.Jalil, bekas Ketua Polis negara, Tan Sri Hussin Ismail, bekas Komander Latihan Tentera Majer Jeneral Datuk Che Hasni Che Ahmad dan Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman.

No comments:

Post a Comment