Monday 3 September 2012

KAMI AKAN BOIKOT PRU-13 JIKA CALON ORANG LUAR!





Saudara Pengarang,

KAMI masyarakat Daerah Kunak mahukan calon Parti Barisan Nasional (BN) kawasan ADUN N.51 Kunak akan datang di Pilihan Raya Ke-13 (PRU-13), dipilih daripada kalangan anak tempatan kelahiran Kunak sendiri tanpa calon dari luar daerah. 

Bagaimanapun, calon tersebut haruslah mempunyai rumah sendiri sejak dari dulu lagi dan yang mempunyai latar belakang yang bersih dan berpendidikan tinggi; sekurang-kurangnya mempunyai segulung Ijazah dan tidak terlibat dengan sebarang kes-kes jenayah dan juga tidak terlibat dengan kes pencerobohan tanah.

Kami juga menolak sekeras-kerasnya kehadiran orang luar yang ingin menjadi calon BN di kawasan kami di ADUN N.51 Kunak. Kami terhidu bau-bau bacang bahawa terdapat orang luar yang kini giat melobi untuk menjadi calon BN di N.51 Kunak. 

Mengikut daripada pengalaman kami, sejak berdekad lamanya, orang ini hanya ingin mengaut keuntungan tanpa menghiraukan kesengsaraan masyarakat di Daerah Kunak. 

Mereka ini akan membawa kuncu-kuncu mereka datang ke daerah ini mengambil harta-harta hak orang Kunak, terutama apabila sudah menang dan menjadi pemimpin.  Perkara ini pernah terjadi sebelum ini kerana masyarakat Kunak pada masa itu tidak mempunyai calon yang berkaliber, tetapi kini tidak lagi. 

Anak-anak Kunak kini sudah ada yang berpendidikan tinggi dan berkaliber dalam pentadbiran daerah. Hanya anak jati Kunak yang tahu apa yang diperlukan untuk daerah Kunak dan bukannya orang luar.  “Bagaikan Ibu-bapa yang baik, tahu apa yang terbaik untuk anak-anaknya”.

Walau apapun, kami tahu sekiranya orang Kunak, orang kami memimpin kami, dia tidak akan sanggup membawa harta yang sepatutnya untuk rakyat, dibawa keluar untuk dijadikan kepentingan peribadi seperti yang berlaku kepada calon-calon dari luar (orang dari luar Daerah Kunak) sebelum ini. 

Kami menyokong dengan padu sekiranya calon yang dipilih kelak bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti dari golongan anak-anak jati Daerah Kunak.  Tetapi sekiranya calon yang dipilih itu dari golongan orang-orang luar Daerah Kunak, kami akan memberontak dengan tidak akan keluar mengundi kerana kami tahu ia bukan untuk kepentingan kami, tetapi hanya untuk memenuhkan nafsu serakah mereka.

Kami mohon kepada anda semua, berilah kami peluang mentadbir daerah kami sendiri di bawah panji-panji BN.  Kami baru sahaja mengorak langkah menuju pembangunan dan jangan matikan apa yang sepatutnya menjadi hak kami.  Sempena Kemerdekaan Malaysia yang ke-55 ini, kami berharap dapat ditadbir oleh orang kami sendiri (Merdeka! Merdeka! Merdeka!).  

Salam Hormat,

ANAK JATI KUNAK

No comments:

Post a Comment