Tuesday 18 September 2012

KEMALANGAN NGERI, PAS RAKAM TAKZIAH




KOTA KINABALU : PAS Sabah merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa kemalangan ngeri dekat Sepanggar, di sini malam kelmarin.

Ketua Penerangannya, Hisammudin Sulaiman (gambar sisipan) dalam kenyataan medianya turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan berharap agar pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci serta menyeluruh berkaitan kemalangan tersebut.

"PAS Sabah merakamkan ucapan takziah ini kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam satu kemalangan ngeri malam kelmarin.

"Kita juga memohon agar satu siasatan terperinci perlu dilakukan bagi mencari punca kemalangan terbabit bagi mengelakkan berlakunya perbuatan khianat dan sabotaj", jelas beliau.

Tambahnya, PAS tidak menolak takdir, tetapi punca perlu dikaji dan dicari.

Dalam kejadian jam 12.40 malam awal pagi Ahad lalu, lima orang penyokong Datuk Seri Hj. Lajim Ukin termasuk dua pasangan, terbunuh di tempat kejadian dalam kemalangan di sepanjang Jalan Sepanggar berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP).

Pasangan, Pahang Ramsin @ Taminsin, 59, dan isterinya Siti Runi Tarawi, 55, Asan @ Hassan Jimi, 55, dan Saimah Jamin isterinya, 51, dan satu lagi mangsa Taripan Tamin, 53, yang sedang dalam perjalanan menaiki kenderaan jenis Isuzu Invader, mengalami kecederaan teruk di badan dan kepala.

Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke Beaufort selepas menghadiri Program Hari Malaysia yang diadakan di Pantai Dalit di Tuaran, dekat sini.

PAS Sabah katanya, akan mengadakan satu majlis tahlil perdana yang akan diadakan di Beaufort pada Khamis ini.

"Kita berusaha untuk mengadakan satu majlis tahlil yang akan diadakan di Beaufort pada Khamis ini, dan saya menjemput semua untuk hadir bagi sama-sama dalam majlis itu," ujar Hisammudin. (MediaPAS)

No comments:

Post a Comment