Thursday 13 September 2012

KETUA GENG GOPAL DITANGKAP




RAMPAS....Ang (kiri) bersama beberapa anggota JSJ sedang menunjukkan motosikal yang berjaya dirampas hasil serbuan itu.

Oleh :  MOHD NAZIB MACPEE

LAHAD DATU: Polis berjaya menyelesaikan 25 kes curi motosikal dan tiga kes pecah rumah di sekitar daerah ini berikutan tertangkapnya ketua Geng Gopal yang dipercayai dalang kepada kegiatan itu dalam satu serbuan di Kampung Jawa, di sini, Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ASP Ang Seow Aun, berkata hasil intipan pihak polis sejak beberapa hari lalu, suspek rakyat tempatan yang berumur 22 tahun itu berjaya ditangkap ketika menunggang sebuah motosikal ketika baru keluar dari rumahnya kira-kira jam 10.30 malam.

Katanya, hasil tangkapan yang dilakukan, pihaknya berjaya menemui semula dua motosikal dan dua rangka motosikal yang disembunyikan di sebuah rumah tidak bernombor.

Rumah berkenaan juga dipercayai digunakan untuk menyimpan dan melerai komponen-komponen motosikal yang dicuri.

“Serbuan diketuai oleh Sjn Zulkifli dan dibantu oleh tiga anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), yang mana suspek dikatakan bergiat aktif dalam melakukan kegiatan mencuri motosikal sejak awal tahun lagi.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, polis berjaya menahan dua lagi suspek lelaki berumur 22 dan 30 tahun yang dipercayai sebagai pembeli barangan curi terbabit dan merampas dua motosikal di Kampung Batu 8, Jalan Segama Lama pada Selasa lalu kira-kira jam 11 pagi di dua lokasi berasingan,” katanya.

Ang berkata, selain terlibat dalam sindiket curi motosikal, suspek juga didapati melakukan beberapa kegiatan pecah rumah.

“Hasil siasatan juga menunjukkan bahawa suspek utama turut terlibat dengan satu kes pecah rumah yang berlaku di Taman Sri Perdana dimiliki seorang doktor melibatkan kerugian anggaran RM80,000,” katanya sambil menambah kejadian itu berlaku sekitar awal tahun ini.

Jelasnya lagi, dengan tertangkap ketua Geng Gopal juga pihak polis turut merampas semula sebuah telefon bimbit milik tuan rumah yang dipecah masuk, peralatan yang digunakan ketika melakukan aktiviti mencuri motosikal. (UB)

No comments:

Post a Comment