Sunday 9 September 2012

LAPORAN POLIS TERHADAP 'ANTI DUSUN'




LAPORAN … Presiden GGBS, Edwin (tengah) di hadapan balai polis selepas membuat laporan terhadap akaun facebook yang menghina suku kaum di negeri Sabah.

Oleh : ROZIE JUMAT
                       
KENINGAU : Persatuan Gerakan Generasi Baru Sook (GGBS) yang berpengkalan di Daerah Kecil Sook telah membuat laporan polis terhadap satu akaun Facebook yang telah menimbulkan kebencian kepada bangsa Dusun.

Presiden GGBS, Edwin Laimin berkata, akaun facebook Anti Dusun  itu telah jelas menimbulkan sensitiviti kaum dengan mensasarkan bangsa Dusun sebagai bahan kejian dan hinaan.

“Kami tidak selesa dan menentang keras kewujudan laman sosial tersebut yang mungkin diselanggarakan oleh individu atau kumpulan-kumpulan  tertentu yang cuba meniupkan api permusuhan,” kata Edwin yang membuat laporan polis di Pejabat Polis Daerah Keningau, di sini.

Menurutnya, akaun tersebut dengan nama ‘Say Fuck To Dusun People’  adalah satu akaun yang membuat penghinaan kepada kaum tertentu di negeri Sabah dan tidak mustahil bangsa lain di negeri ini menjadi sasaran seterusnya jika tidak diambil tindakan dari pihak kerajaan.

“Laporan GGBS ini meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyiasat seterusnya membuat tindakan kepada mereka yang terlibat kerana dengan jelas akaun itu mempersenda serta menghina bangsa lain. Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia kita hidup aman dan harmoni sesuai dengan slogan 1Malaysia,” kata Edwin, yang disertai oleh ahli-ahli GGBS di sini.

Dalam pada itu kata Edwin, masyarakat Dusun harus bersatu agar jangan terpedaya dengan provokasi yang mungkin dimainkan oleh individu atau kumpulan tertentu.

“Mungkin hari ini bangsa atau suku Dusun dimainkan, esok mungkin suku lain dan mungkin juga terdapat isu yang boleh membuatkan Bumiputera bercakaran dan bermusuhan sesama sendiri. Ingatlah bahawa ia akan merugikan semua pihak dan generasi kita akan ketinggalan kepada bangsa-bangsa lain. Teruskan bersatu di bawah persatuan untuk membela generasi akan datang...,” ujar Edwin.

No comments:

Post a Comment