Friday 14 September 2012

MCA DAN GERAKAN SEMAKIN LUNTUR DI SABAH.




Saudara Pengarang,

SEMENJAK Umno mengembangkan sayapnya ke bumi Sabah, 21 tahun lalu, parti-parti politik yang diasaskan di Semenanjung Malaysia, telah bersungguh-sungguh terbang menyeberangi Laut Cina Selatan untuk mendirikan Batu Asas di Sabah; terutama MCA, GERAKAN, MIC, PPP kerana kesemuanya telah membuka cawangan.

Bagaikan satu perniagaan yang boleh menguntungkan jika sayap parti masing-masing dikembangkan di bumi Sabah. Namun saya hanya ingin mengulas parti berasaskan kaum Cina iaitu MCA dan GERAKAN.

Kedua-dua parti ini nampaknya bercita-cita besar dan memasang impian siang hari di bumi Sabah, terutama MCA mereka hampir mempunyai pejabat lengkap yang dengan kakitangan di kesemua 25 Bahagian Parlimen.

Dengan kedudukan sebagai parti yang kaya-raya, termasuk juga Gerakan, iaitu parti yang telah ditolak oleh rakyat Pulau Pinang; maka parti dominasi masyarakat Cina ini; GERAKAN dan MCA memasang cita-cita besar dalam politik Sabah. Lihat sahaja orang yang ada dalam kedua-dua parti ini di Sabah, semuanya orang baru, yang baru mahu mencari platform politik.

Tujuan mereka mengunakan kedua-dua parti ini, adalah untuk mencari peluang, ini kerana bagi mereka, hanya MCA dan GERAKAN sahaja yang membuka peluang untuk mereka; bukannya SAPP atau PBS.

Persoalannya, bolehkah masyarakat Cina sabah menerima kedua-dua parti ini, sedangkan di dalam pilihanraya 2008 itu, kedua-duanya hampir gulung tikar. MCA kalah hampir 90% dan GERAKAN hilang Pulau Pinang.

Senario ini membuktikan bahawa majoriti masyarakat Cina di Semananjung Malaysia telah mengajar MCA dan GERAKAN. Adakah masyarakat Cina Sabah boleh menerima MCA dan GERAKAN, sedangkan saudara-saudara mereka di Semanjung mahu menguburkan terus kedua-dua parti itu tanpa keranda?

Kita yakin jika MCA atau GERAKAN diberi peluang bertanding di Sabah; alamatnya, masyarakat Cina Sabah juga akan kuburkan kedua-dua parti ini di bumi Sabah. Kita yakin sentimen masyarakat Cina Sabah adalah sama dengan saudara mereka di Semenanjung dan Sarawak.

Jika BN memberikan banyak kerusi kepada MCA dan GERAKAN di Sabah, maka ini akan membuka jalan kepada pembangkang menghantar wakil di Dewan Undangan Negeri Sabah dan Dewan Rakyat.

Teorinya ialah sentimen anti BN dalam minda masyarakat Cina; walau macam mana baiknya BN terhadap mereka, majoriti mereka tetap menolak BN kerana telah memberi kepercayaan kepada DAP untuk memperjuangkan nasib politik mereka.

Siapakah pilihan Masyarakat Cina Sabah? Adakah SAPP, DAP, PKR atau PBS dan LDP; sedangkan kedua-duanya masih tegar di dalam BN? Kita menduga bahawa DAP akan terus menjuarai hati masyarakat Cina Sabah.
Pada PRU-12, DAP telah berjaya memiliki Parlimen Kota Kinabalu dan Dun Sri Tanjung. Namun pada PRU-13, majoriti masyarat Cina yakin DAP akan membuat satu kejutan seperti di Sarawak.

Bagi SAPP, peluang mereka di kaca mata masyarakat Cina Sabah juga agak memberangsangkan. Kita berharap sangat agar DAP dan SAPP tidak akan bertempur sesama mereka. Jika kita membenarkan pertempuran sesama mereka berlaku, maka nescaya akan membuat BN ketawa sehingga pecah perut.

Kita berdoa agar perebutan kerusi sesama sendiri dapat dielakkan kerana DAP dan SAPP adalah harapan unggul masyarakat Cina Sabah. Maka bersatulah kamu Datuk Yong Teck Lee dan Hiew King Cheu atau Jimmy Wong. Kalau bukan kamu, siapa lagi harapan kami.

Salam Hormat,

MOHD DANIAL ADULLAH.

1 comment:

  1. Saya amat teruja untuk melihat fenomena baru didalam arena politik Malaysia..terutama Sabah..

    ReplyDelete