Tuesday 11 September 2012

MYANMAR BENARKAN KELAB PUTERA SALUR BANTUAN




KUALA LUMPUR : Kementerian Luar menyambut baik keputusan Kerajaan Myanmar membenarkan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) menghulur bantuan kepada penduduk Rakhine yang terjejas ekoran konflik Jun lalu.

Keputusan itu berikutan permohonan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman kepada rakan sejawatannya dari Myanmar Wunna Maung Lwin sewaktu menghadiri Persidangan Ketua-ketua Negara dan Kerajaan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) ke-16 di Tehran Ogos lepas.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata Kerajaan Myanmar turut menyatakan penghargaan atas semangat setia kawan dan sokongan berterusan ditunjukkan kerajaan Malaysia serta keprihatinan rakyat negara ini.

Berikutan itu Kementerian Luar menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, akan bekerjasama dengan Kerajaan Myanmar dalam menyalurkan bantuan sebaik sahaja butiran lengkap mengenai penghantaran bantuan diterima daripada Kelab Putera 1Malaysia.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata Kapal KD Sri Indera Sakti yang membawa 480 tan barangan Misi Bantuan Kemanusiaan Tabung Rohingya sepatutnya bertolak 1 Sept lepas tetapi terpaksa ditangguhkan kerana belum mendapat kebenaran daripada kerajaan Myanmar. (Bernama)

No comments:

Post a Comment