Sunday 16 September 2012

NEGARA RUGI BESAR JIKA BN GAGAL PERINTAH





SIBU : Negara akan rugi besar sekiranya sebuah kerajaan yang baik pimpinan Barisan Nasional (BN) kehilangan kesinambungan pimpinan memandangkan gabungan itu menguruskan negara dengan sangat baik selama lebih 50 tahun.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata Malaysia tidak seharusnya ditadbir oleh kalangan yang kurang berpengalaman kerana ini hanya membawa ke arah kehancuran.

"Tiada pendatang baru dalam politik yang boleh melakukan keajaiban dan kemudiannya berkata mereka boleh berkhidmat dengan lebih baik lagi," katanya pada majlis pecah tanah universiti terbaharu Sarawak iaitu Kolej Universiti Teknologi Sarawak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Lapangan Terbang Lama di sini hari ini.

"Barisan Nasional... mereka mempunyai pemimpin dan anggota berkualiti yang boleh membawa transformasi kepada negara ini.

"Najib, beliau sangat maklum tentang keperluan dan aspirasi negeri ini, memandangkan beliau seorang pengunjung yang kerap, sama ada ke pusat bandar atau luar bandar, sejak menerajui kepimpinan kerajaan persekutuan tiga tahun lepas," kata Taib.

Justeru, beliau berkata masyarakat Sarawak sekali lagi perlu berdiri teguh di belakang kerajaan pimpinan Najib, untuk membolehkan negeri ini, yang semakin menghampiri pemodenan, mencapai aspirasi ini dengan jayanya.

Sementara itu, berucap pada majlis Hari Raya anjuran Dewan Undangan Negeri kawasan Nangka di Masjid An-Nur, yang turut dihdiri perdana menteri, Taib berkata:

"Rakyat berdepan perjuangan yang besar untuk mempertahankan kerajaan BN yang mempunyai komitmen dan sejarah dalam membawa kemajuan serta pembangunan di negeri ini."

Beliau berkata perjuangan itu menjadi semakin rumit saban hari, namun kerajaan BN mampu menanganinya, tambahan pula kepimpinannya telahpun membuktikan keupayaan dan kebolehan untuk menjadi semakin baik.

"Ayuh kita beri mandat yang paling besar kepada Najib untuk memimpin kerajaan sekali lagi dalam pilihan raya umum ke-13.

"Mari kita bersatu padu mengundi kerajaan dan kepimpinan beliau serta menolak golongan yang hanya mahu membuat pelbagai janji," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment