Tuesday 25 September 2012

NGO DISARAN JANGAN TERIMA DANA ASING






KUALA LUMPUR : Pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negara ini disaran supaya tidak menerima sebarang pembiayaan dana asing untuk mengelak pertubuhan itu dipergunakan bagi tujuan tertentu yang boleh menggugat keselamatan Malaysia.

Pensyarah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Azmi Hassan berkata sekiranya NGO itu masih menggunakan dana asing secara berleluasa, ia berkemungkinan mengancam keamanan rakyat, sekali gus dapat menjatuhkan kerajaan seperti yang berlaku di Mesir November tahun lepas.

“Misal di Mesir, NGO mereka mengakui menggunakan dana asing untuk berpura-pura sebagai menyuburkan proses demokrasi tetapi sebenarnya mereka dibiaya bagi membuat demonstrasi menjatuhkan rejim Hosni Mubarak,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) yang berpandangan bahawa beberapa kuasa asing mengharapkan perubahan rejim di Malaysia dengan cara membiayai pertubuhan propembangkang tempatan.

Baru-baru ini portal berita Malaysiakini.com mengakui menerima pembiayaan dana asing termasuk daripada Open Society Institute (OSI). Selain itu Suara Rakyat Malaysia (Suaram) didakwa turut menerima dana asing.

Azmi turut bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir itu dan menasihati rakyat negara ini mengambil pengajaran daripada kejadian tersebut supaya negara ini yang kini aman damai tidak mengalami nasib yang sama.

Bagaimanapun Azmi mengakui bukan semua pembiaya asing mempunyai niat jahat tetapi pemimpin NGO wajar mengambil langkah berhati-hati di samping perlu mengisytiharkan sumber dana itu kepada umum bagi membolehkan rakyat membuat penilaian.

“Seboleh-bolehnya NGO di Malaysia jangan menerima dana asing, kalau terima dana asing pun kena isytihar jangan sembunyi supaya rakyat boleh membuat penilaian. Apa-apa pun NGO kena berbalik kepada perjuangan sebenar dan jangan menyimpang jauh dari landasan asal perjuangan mereka,” katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment