Saturday 22 September 2012

NGO SELAR DAKWAAN KOMPLOT





Oleh : LEANNZA CHIA DAN MD IZWAN

KUALA LUMPUR : Para aktivis berkata mereka kini menjadi sasaran dalam kempen memburuk-burukkan mereka selepas beberapa akhbar yang dikaitkan dengan Barisan Nasional (BN) menerbitkan laporan yang mendakwa organisasi seperti SUARAM dan Bersih telah menerima dana asing sebagai sebahagian daripada plot untuk menjejaskan kestabilan negara.

Aktivis mengakui kepada The Malaysian Insider bahawa banyak organisasi mereka menerima dana dari sumber-sumber asing dan tempatan, tetapi menegaskan ianya bertujuan untuk membiayai kempen mereka bagi mewujudkan amalan demokrasi dan menegakkan hak asasi manusia.

Mereka juga berkata bahawa dana yang diterima mereka tidak mempunyai kaitan dengan sebarang plot seperti yang dituduh dalam tajuk utama akhbar yang dikawal oleh Umno, New Straits Times.

Beberapa pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan lain juga dinamakan dalam laporan tersebut seperti SUARAM, 'Lawyers for Liberty', BERSIH dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

Laporan sama muncul dalam akhbar MCA, The Star yang mengeluarkan bukti dan kenyataan dipetik daripada sumber dan pegawai penyiasat yang tidak dinamakan terlibat dalam siasatan kewangan ke atas NGO terlibat.

Laporan tersebut mendakwa sebanyak RM20 juta telah diterima antara 2005 dan tahun lepas daripada dana asing seperti "National Endowment for Democracy" (NED) yang berpangkalan di Washington dan "Open Society Institute" (OSI) yang berpangkalan di New York.

Namun, laporan tersebut tidak menyatakan mengapa organisasi tersebut disiasat dan tidak menerangkan bentuk tindakan yang menjejaskan kestabilan kerajaan ataupun negara.

Tetapi banyak organisasi-organisasi ini terlibat sejak kebelakangan ini terutamanya dalam kempen untuk reformasi pilihanraya dan hak asasi manusia.

“Saya tidak fikir perlu ada satu isu tentang di mana dana itu datang, selagi pembiaya tersebut tidak berperanan menentukan arah tuju sesebuah NGO tersebut.

“Kami (sebagai sebuah NGO) mempunyai prinsip dan pendirian tertentu. Samaada seringgit daripada rakyat Malaysia atau satu dolar daripada seseorang di luar negara, ia tidak penting kepada kami,” kata Eric Paulsen, penasihat "Lawyers for Liberty".

Beliau mengakui bahawa pihak Pakatan Rakyat (PR) dan NGO yang disenaraikan dalam laporan tersebut sering bekerja bersama-sama, tetapi menegaskan bahawa ini adalah kerana mereka telah berkempen atas isu-isu yang sama seperti “menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi, penyalahgunaan kuasa dan rasuah”.

“Kami akan terus menentang walaupun jika pembangkang memenangi PRU-13 dan mereka masih menggunakan ISA dan salahguna kuasa. Sebagai sebuah NGO yang berdiri untuk kebebasan, kami akan tetap sama dan sentiasa mempersoalkan dan berkempen menentang penggunaan kuasa tersebut.”

“Apa yang kami lakukan ini sama seperti di seluruh dunia. Kami berkempen menentang penahanan tanpa perbicaraan. Adakah ia bertujuan menggugat ketidakstabilan kerajaan? Tidak, ia adalah tentang keadilan dan menghentikan penindasan. Ini (laporan oleh NST) adalah kempen bagi memburuk-burukkan,” katanya.

Masjaliza Hamzah dari CIJ memberitahu The Malaysian Insider bahawa pembiayaan adalah satu isu besar bagi NGO kerana mereka sentiasa bergelut untuk mendapatkan dana.

“Banyak orang yang bekerja di NGO mengambil pemotongan gaji, kerana mereka percaya dalam perjuangan. Ia adalah penting untuk membina sebuah Malaysia yang demokrasi. Anda menerimanya dengan mengetahui suatu hari anda boleh dilabel sebagai ‘ejen asing’.

“NST perlu menjawab (tentang tujuan mereka menyiarkan laporan tersebut). CIJ telah bercakap mengenai kebebasan media dan mengenai keganasan polis semasa BERSIH. Adakah kita bercakap bagi institusi asing? Jika anda membuat tuduhan anda harus kembali dengan fakta. NST perlu berikan bukti untuk menyokong dakwaan mereka.

“Saya tidak yakin negara ini boleh diperbodohkan seperti ini”, katanya merujuk kepada dakwaan yang dibuat oleh NST.

Anggota jawatankuasa pemandu BERSIH, Hishammuddin Rais memberitahu The Malaysian Insider bahawa dana NGO tidak pernah menjadi rahsia.

Beliau membuat perbandingan mengaitkan dana asing NGO dengan latihan ketenteraan Malaysia bersama Amerika Syarikat dan mencadangkan NST supaya turut membuat laporan tersebut.

“Semua orang Melayu (juga) menegaskan bahawa wang itu datang dari ‘Yahudi’ (Israel), dari orang-orang Yahudi. Ia adalah bersifat perkauman. Ya, ia datang dari NED dan George Soros, tetapi terdapat juga banyak orang Yahudi menderma kepada NGO. Saya fikir ini politik perkauman dan semua harus menggesa perkara ini dihentikan.”

Arumugam Kalimuthu dari SUARAM turut melabel laporan NST tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan menegaskan bahawa hanya kerana organisasi beliau telah menerima beberapa dana dari Amerika Syarikat, ia tidak bermakna mereka cuba menjatuhkan mana-mana kerajaan. (TMI)

No comments:

Post a Comment