Sunday 9 September 2012

OPS BERSEPADU CEGAH MAKSIAT CEKUP 18 INDIVIDU




TAHAN.....Antara wanita yang ditahan dalam Ops Bersepadu Cegah Maksiat.

TAWAU: Pihak berkuasa menahan 18 individu termasuk dua gadis bawah umur dan seorang pondan (lelaki berpenampilan ala-wanita) dalam Operasi Bersepadu Cegah Maksiat (OBCM) yang dilancarkan selama kira-kira lima jam di sini kelmarin.

Seramai enam pasangan bukan muhrim diberkas di rumah-rumah tumpangan dan enam lagi individu ditahan kerana disyaki meminum minuman keras yang kesemuanya berusia 17 hingga 55 tahun.

Mereka yang ditahan juga terdiri daripada lapan wanita dan 10 lelaki, namun seorang daripada wanita terbabit yang bukan beragama Islam dibebaskan sementara pasangannya yang beragama Islam pula ditahan oleh pihak berkuasa.

Dalam operasi itu, dua wanita cuba ‘berlakon’ berada di dalam bilik tanpa ditemani oleh lelaki namun kecekapan pihak berkuasa dapat mengesan keberadaan dua lelaki yang bersembunyi di bawah katil mereka.

Malah kehadiran pihak berkuasa di sebuah premis hiburan juga menyebabkan para pengunjungnya yang dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan berusia di bawah umur merempuh pintu keluar-masuk premis terbabit.

Menurut Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Azinun Sanarul, notis amaran dan arahan kepada pemilik-pemilik premis hiburan dan rumah penginapan yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan turut dikeluarkan.

“Kita dapati ada premis beroperasi lebih masa, kotor dan gagal mematuhi peraturan,” katanya mengenai operasi bersama pihak MPT, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (Jheains), polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen.

Rampasan lain turut melibatkan lapan botol (satu liter Martell) dan 18 tin Stout (330 ml) yang disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 di sebuah premis hiburan kerana disyaki tidak mempunyai duti kastam. (UB)

No comments:

Post a Comment