Monday 17 September 2012

PANDUAN LGBT YANG MENYESATKAN





BANTAH......Penulis melahirkan bantahan menerusi poster ini yang disiarkan di blognya.

Oleh : UTHAYA SHANKAR

KALAULAH saya secara membuta-tuli ditakdirkan percaya bulat-bulat pada panduan yang khabarnya disahkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), maka saya akan mula memikirkan serta mempercayai bahawa majoriti rakan-rakan saya adalah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Apatah lagi, Bernama dan Utusan Online pada 12 September melaporkan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai berkata bahawa “tidak ramai dalam kalangan masyarakat yang memahami atau mengenali simptom LGBT, khususnya tanda-tanda awal terjebak”.

Laporan penuh di akhbar Sin Chew Daily pada keesokan hari memberi gambaran lanjut yang sekadar membuktikan kekhilafan dan kejahilan KPM dan sekutunya terhadap isu sebenar.

Apatah lagi apabila dilaporkan bahawa kementerian berkenaan mengesahkan (mengendors, kata Kamus Dewan) garis panduan berkenaan yang diterbitkan oleh Yayasan Guru Malaysia Bhd serta Majlis Rundingan Persatuan Ibubapa dan Guru Putrajaya.

“Dimaklumkan juga bahawa seminar ini adalah anjuran NGO yang prihatin terhadap isu tersebut.” Demikian kenyataan di laman Facebook “Official: Kementerian Pelajaran Malaysia” pada 15 September.

Panduan yang dikeluarkan pada Seminar Keibubapaan Dalam Menangani Isu LGBT di GeorgeTown, Pulau Pinang kononnya bertujuan  membantu ibu bapa dan guru mengenal pasti tanda-tanda (simptom, kata Kamus Dewan) LGBT dalam kalangan pelajar dan remaja.

Serta-merta panduan yang bodoh dan membuktikan kejahilan itu mendapat maklum balas daripada orang ramai; tidak sekadar golongan LGBT. Namun, tentulah reaksi itu tidak disiarkan media arus perdana. Mujurlah ada media alternatif dan jaringan media sosial seperti Facebook untuk membantu orang ramai mendapatkan fakta sebenar.

Menurut panduan yang dikeluarkan “NGO yang prihatin” itu, tanda-tanda seorang remaja/pelajar menjadi gay adalah apabila dia memiliki (atau mahu memiliki) tubuh yang berotot (muscular); serta suka menayangkan tubuhnya dengan cara memakai pakaian yang mendedahkan seperti kemeja berkolar potongan V (V-neck) dan kemeja-T tanpa lengan.

Pakaian yang digemari golongan gay — menurut panduan yang disediakan “pakar-pakar” itu — adalah pakaian ketat dan warna terang. Mereka juga suka membawa beg tangan menyerupai beg tangan wanita.

Tanda-tanda untuk mengenal pasti remaja/pelajar perempuan yang mengamalkan cara hidup lesbian adalah lebih mudah: Mereka suka meluangkan masa (“hanging out”) dan makan (“dining”) bersama-sama wanita.


 



FACEBOOK.....Kenyataan akhbar KPM di Facebook pada 15 September 2012.



Saya katakan “lebih mudah” kerana sekiranya panduan bodoh itu dijadikan ... err, panduan ... maka setiap wanita yang normal adalah lesbian. Lihat sahaja pada waktu rehat panjang setiap hari Jumaat, berapa ramai wanita yang meluangkan masa, makan dan membeli-belah bersama-sama “teman” wanita!

Sebagai seorang pengamal media dan perunding media, saya dapat melihat betapa Barisan Nasional (BN) sedang menggali kubur sendiri (atau melakukan sabotaj dari dalam) melalui pelbagai tindakan “kurang bijak” (baca: bodoh) sejak belakangan ini.

Petikan perenggan di atas adalah daripada tulisan saya bertajuk “Tweet dan pertahan Putrajaya?” (TMI, 3 September 2012) dan ternyata masih sesuai bagi menjelaskan perkembangan terbaru berkaitan isu LGBT.

Pada awal November lalu, pernah kecoh tentang program Seksualiti Merdeka yang dikatakan menggalakkan seks bebas. Salah seorang individu yang saya wawancara bagi makalah “Apa kes Seksualiti Merdeka?” (TMI, 29 November 2011) berkongsi pendapat bahawa orang politik mula bersuara lantang menentang LGBT kerana “Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir”.

Saya tidak dapat menolak pandangan itu kerana setiap kali menjelang pilihan raya, politikus dan juak-juaknya akan semakin teruja untuk mempamerkan kebodohan yang sudah mendarah-daging dalam diri mereka. Kalau tidak percaya, beranikanlah diri membaca akhbar-akhbar dan/atau menonton berita di stesen televisyen yang dikuasai pihak berkenaan.

Berbalik pada panduan yang disediakan oleh “NGO yang prihatin” dan “diendors” KPM (atau sekurang-kurangnya oleh Puad?), terbukti ia menjadi bahan lawak terbaik pada masa kini — sebagai tambahan kepada pelbagai lawak bodoh yang dipersembahkan Badut Paul Lathic setiap hari, tentunya.

Misalnya, dinyatakan bahawa tanda-tanda seorang gay adalah apabila dia memiliki (atau mahu memiliki) tubuh yang berotot (muscular). Jangan lupa bahawa “panduan pakar” ini adalah bagi membantu guru dan ibu bapa memantau pelajar/remaja. Maknanya, ibu bapa perlu berhati-hati jika anak mereka memiliki (atau mahu memiliki) tubuh yang berotot. Untuk itu, secara logik, remaja berkenaan akan berminat pergi ke gimnasium.

Saya menghubungi beberapa rakan yang mengusahakan dan/atau menjadi jurulatih di gimnasium di sekitar Lembah Klang. Mereka mengesahkan bahawa umur minimum untuk menjadi ahli di gimnasium adalah 18 tahun. Ada kelonggaran bersyarat bagi remaja bawah umur jika datang mendaftar bersama-sama ibu/bapa.

Maka, sekiranya ada ibu bapa yang cukup bodoh untuk akur pada “panduan pakar” yang disediakan oleh “NGO yang prihatin” maka bayangkan apa yang akan berlaku kepada remaja yang mahu pergi ke gimnasium bagi tujuan kesihatan dan menambah otot pada tubuh.

Saya mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa segala tindakan bodoh seperti ini yang dilakukan pihak tertentu sebenarnya berniat jahat dan secara jelas mahu menzalimi golongan minoriti. Kelompok monoriti memang sentiasa menjadi mangsa di negara bertuah ini. Malah, dengan “sokongan” pemerintah.

Garis panduan yang dikeluarkan ‘NGO yang prihatin’ akhirnya menjadi bahan lawak dan publisiti.
Seperti yang saya tegaskan dalam novel “Panchayat: Edisi Khas” (2012), saya menentang sekeras-kerasnya segala bentuk penindasan, kezaliman, diskriminasi, ketidakadilan dan penipuan oleh mana-mana pihak; khususnya politikus dan pihak berkuasa.

Dua hari lalu, kenyataan akhbar dikeluarkan menerusi Facebook oleh “Official: Kementerian Pelajaran Malaysia” untuk menjelaskan bahawa “KPM tidak pernah mengesahkan kepada mana-mana pihak untuk menyediakan atau mengeluarkan garis panduan tersebut untuk diedarkan ke sekolah-sekolah.”

Kenyataan akhbar yang sama turut mengesahkan, “KPM juga memandang berat kes-kes gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat dan sentiasa memberi bimbingan secara langsung dan tidak langsung kepada semua murid untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat.”

Khabarnya Seminar Keibubapaan Dalam Menangani Isu LGBT sudah diadakan sebanyak sepuluh kali di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Ya, tentu sahaja oleh “NGO yang prihatin” dan saya percaya “KPM tidak pernah mengesahkan” apa-apa yang dilakukan penganjur terbabit untuk merosakkan (meracuni) minda masyarakat.

Pada 14 September, saya menghadiri jamuan perpisahan di Brickfields bagi seorang rakan yang akan melanjutkan pelajaran di luar negara. Saya sengaja memakai kemeja-T ketat dan berkolar V sebagai tanda bantahan terhadap garis panduan yang dikeluarkan “NGO yang prihatin”.

Biasanya saya jarang memakai V-neck dan tidak pernah membawa beg tangan menyerupai beg tangan wanita. Malah, saya kurus dan tidak termasuk dalam kategori “muscular”. Dengan adanya garis panduan yang kini dijaja ke seluruh negara, saya boleh menarik nafas lega kerana orang ramai tidak akan tersalah tafsir beberapa foto terbaru yang diambil di Alfiearth Studio pada 2 September di mana saya tampil tidak berbaju (barechested).

Sementara itu, sekiranya anda melakukan pencarian di Google, anda akan menemui foto-foto di mana Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri tercinta), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Dalam Negeri tercinta) dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Ketua Pemuda Umno tercinta) memakai kemeja dengan kolar potongan V.

Tentu ibu bapa dan keluarga para pemimpin BN itu perlu membaca garis panduan yang disediakan “NGO yang prihatin” dan mengambil tindakan segera sebelum Najib, Hishammuddin dan Khairy “terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat” seperti dibimbangi pemerintah.

(NOTA : Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem).

No comments:

Post a Comment