Saturday 22 September 2012

PAS KEMUKA 4 TUNTUTAN KEPADA AS




MEMORANDUM.....Tiada pegawai kedutaan AS yang turun untuk berjumpa wakil mereka dan menerima memorandum tersebut.

Oleh : JAMILAH KAMARUDIN & AMIRUL AZAM ZULKAFLI

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS mengemukakn empat tuntutan terhadap kerajaan Amerika Syarikat (AS), antaranya desakan maaf kerana menghina umat Islam.

Memorandum yang ditandatangani Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hasan turut mendesak supaya pengarah ‘Innocence of Muslim’ itu dikenakan tindakan yang maksimum kerana mengeluarkan filem menghina Nabi Muhammad.

“Kita mahu AS pulihkan semula hubungan Islam dengan dunia Barat. Hentikan sebarang artikel termasuk karikatur yang menghina Nabi,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata pihaknya kecewa kerana tiada pegawai kedutaan AS yang turun untuk berjumpa wakil mereka dan menerima memorandum tersebut.

Sebaliknya hanya pengawal keselamatan kedutaan ditugaskan menerimanya pada pukul 3 petang tadi.

Bakar bendera

“Namun kita tetap berharap memorandum ini akan sampai kepada pihak yang berwajib. Harap ini kali terakhir umat Islam dihina dan jangan persendakannya kerana ini satu provokasi yg menyebabkan kacau bilau,” katanya.

Berlaku sedikit tunjuk perasaan apabila demonstran turut bertindak memijak dan membakar bendera Israel dan AS.

Demontrasi aman itu akhirnya selesai selepas orang ramai mula bersurai kira-kira 3.30 petang tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Sigh Tara Singh ketika ditemui pemberita berkata secara keseluruhannya pihaknya berpuas hati kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Tiada apa yang berlaku. Mereka telah mengikuti segala arahan dan syarat yang diberikan. Keadaan dapat dikawal selia dengan baik dan lalulintas dapat dibuka semula seperti biasa,” katanya. (FMT)

No comments:

Post a Comment