Thursday 6 September 2012

PEGUAM NEGARA FAILKAN RAYUAN KES ROGOL





KUALA LUMPUR : Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada 28 Ogos lalu yang membebaskan seorang juruelektrik dengan ikat jamin RM25,000 dan bon jaminan berkelakuan baik atas tuduhan merogol gadis bawah umur.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam satu kenyataan berkata rayuan tersebut telah difailkan pada 29 Ogos lalu.

Jabatan itu juga akan memohon agar pendengaran rayuan di Mahkamah Tinggi dipercepatkan kerana berpendapat ia wajar dihujahkan semula isu tafsiran undang-undang berkaitan hukuman bagi kesalahan rogol terhadap kanak-kanak serta pemakaian sewajarnya peruntukan Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah terhadap kesalahan serius sedemikian, katanya.

Dalam kes tersebut, Hakim Mahkamah Sesyen Sitarun Nisa Abdul Aziz membebaskan Chuah Guan Jiu, 22, yang dihakimi mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol teman wanitanya berusia 12 tahun, tahun lepas, setelah mengambil kira faktor usia tertuduh yang masih muda dan ini merupakan kesalahan pertamanya.

Abdul Gani berkata jabatan itu juga meneliti keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Melaka terhadap satu lagi kes rogol, yang mana pemain boling kebangsaan Noor Afizal Azizan yang disabit di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah telah dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik kerana merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh Melaka pada 2009.

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara memandang serius kedua-dua keputusan mahkamah tersebut dan berpendirian bahawa kes rogol menghendaki hukuman deteren dikenakan untuk menunjukkan kebencian dan ketidaksenangan masyarakat terhadap perbuatan jenayah hina sedemikian. (Bernama)

No comments:

Post a Comment