Monday 24 September 2012

PENTING MUKA BARU SEBAGAI CALON BN




Oleh : RIZAL ABD RAHMAN

MENJADI norma seorang manusia biasa, apabila terlalu lama berada dalam satu-satu keadaan ia akan menyebabkan seorang itu mudah berasa bosan dan akhirnya hilang harapan. Selain bosan, perasaan ingin tahu jika ada sesuatu perubahan boleh atau tidak menyebabkan kebaikan untuk dirinya juga merupakan sebahagian daripada naluri biasa ini.

Norma yang sama berlaku dalam politik. Perubahan mestilah sentiasa berlaku kerana ia memperbaharui harapan pengundi yang memilih agar ‘mood’ mereka terhadap satu-satu parti akan tetap tinggi.

Hakikat ini juga merupakan sebab kenapa pembangkang yang ditunjangi oleh Pakatan Rakyat kelihatan gah mendapat sokongan pada pilihanraya yang lalu. Berani mempamerkan calon-calon baru dengan slogan dan manifesto yang memberi harapan telah memberi keyakinan kepada ramai orang sehinggakan pada pilihanraya di tahun 2008 tersebut, sebahagian besar orang ramai membuat keputusan memilih Pakatan Rakyat. Namun hanya selepas beberapa waktu memimpin, Pakatan Rakyat juga gagal menepati janji manifesto mereka dengan pelbagai alasan.

Datuk Seri Najib Razak, Pengerusi Barisan Nasional (BN) baru-baru ini mengumumkan bahawa beliau telahpun menyenarai pendek nama-nama ‘Winnable Candidate’ BN yang bakal dipilih bertanding mewakili parti tersebut dalam pilihanraya umum ke 13 kelak. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan supaya sesiapapun yang terpilih nanti wajib diberi sokongan penuh oleh akar umbi parti.

Sudah tentu calon yang terpilih merupakan calon yang terbaik dari nama-nama yang ada dan jika penyokong BN mengamalkan semangat sayangkan parti, setia kawan, tidak mensabotaj, calon-calon ini pasti menang di kawasan masing-masing.

Berani namakan calon baru BN

Bila tiba waktunya nanti, sebagai Pengerusi BN, Najib mestilah juga berani untuk mengambil keputusan menterjemah barisan calon baru yang benar-benar ‘winnable’ tanpa mengira faktor orang parti atau senioriti dalam parti.

Jika sahutan ini berani dibuat oleh beliau demi memastikan calon terpilih merupakan calon yang terbaik dan paling ideal mewakili rakyat di satu-satu kawasan, ini sudah tentu bakal membuka mata ramai pihak untuk memberi sokongan kepada calon BN.

Sepanjang BN memerintah negara, antara sebab mengapa pengundi mula berasa tidak selesa dengan BN adalah hakikat muka-muka pemimpin yang tidak banyak berubah.

Pemimpin yang ada kekal terlalu lama dan ada di antara mereka walaupun berdepan dengan pelbagai kontroversi serta gagal mentadbir kawasan dengan baik, namun kerana faktor senioriti dalam parti mereka tetap dipertahankan berdekad-dekad lamanya.

Muka-muka baru jarang diberi peluang untuk mewakili BN dan jika mereka ini merupakan orang parti sekalipun, mereka dikatakan dicantas pada peringkat awal ingin menawarkan diri. Pemimpin yang pernah terpilih pula akan melakukan apa sahaja bagi mengekalkan kedudukan selesa mereka termasuk jika ia bermakna mensabotaj calon dari parti sendiri.

Budaya ini hendaklah dibuang jauh-jauh dari BN. Ini penting bagi menarik sokongan orang-orang baru terutama anak-anak muda yang berkebolehan bagi mendekati parti seterusnya ia bakal memastikan kesinambungan kepimpinan baik terjamin.

Statistik dari Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia menunjukkan pengundi muda meliputi sejumlah 38.21 peratus dari daftar pemilih iaitu seramai 4,519,509 orang dari 11,825,053 orang jumlah pemilih.

Selain itu, survei yang dijalankan oleh Merdeka Center, mendapati kira-kira 13 peratus pengundi muda ini merupakan golongan non-partisan yang tidak cenderung memilih kerana mana-mana parti politik.

Golongan ini dikatakan akan mengundi calon berdasarkan keyakinan terhadap kewibawaan dari setiap calon yang bertanding. Justeru, sekiranya BN komited ingin mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya ke 13 kelak, hal ini perlu diambil perhatian dan tidak sepatutnya diendahkan.

Diharap Najib bakal memandang serius terhadap perkara ini. Jika beliau konsisten dengan slogan ‘rakyat didahulukan’, tidak hanya mementingkan kepentingan satu-satu parti atau senioriti dalam parti serta berani menamakan muka-muka baru yang mempunyai rekod dan potensi baik sebagai calon pimpinan BN kelak, ia tentu akan menambat hati pengundi secara keseluruhan dan memberi keyakinan penuh kepada mereka untuk memilih calon BN.

(NOTA : Dr Rizal Abd Rahman adalah seorang doktor perubatan dan pengamat politik tanah air.)

No comments:

Post a Comment