Monday 17 September 2012

PENUMPANG KE SIBU AKAN BERTAMBAH




SIBU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penambahbaikan Lapangan Terbang Sibu (LTS) dapat menggandakan bilangan penumpang dari 800,000 kepada 1.7 juta setahun. Katanya statistik ini merupakan penanda aras kepada bandar Sibu sebagai menepati status antara bandar yang besar dan maju di negeri ini.

“Pembesaran lapangan terbang ini tepat pada masanya bagi menampung bilangan pergerakan penumpang yang semakin meningkat.

“Selain itu ia juga akan menjadi pemangkin kepada perkembangan dan peningkatan ekonomi penduduk tempatan, khasnya di kawasan wilayah tengah di samping turut menarik lebih banyak penerbangan serta penumpang ke Sibu,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap Merasmikan Pembesaran dan Menaik Taraf Lapangan Terbang Sibu semalam.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansur, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Menurut Najib, kerajaan persekutuan amat prihatin terhadap keperluan pen­duduk negeri ini khususnya Sibu.

Ini kerana, Sibu katanya, sedang dalam ambang pemulihan dan memerlukan komitmen daripada semua pihak.

Selain itu, Najib memberitahu bahawa kerajaan persekutuan sentiasa akan berusaha menambah baik prasarana lain bagi memastikan pembangunan berterusan di samping memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

Katanya sejak merdeka kerajaan persekutuan tidak pernah berhenti membangunkan Sarawak dan usaha itu tidak dapat disangkal oleh mana-mana pihak.

Bercakap lanjut, Najib juga berharap rakyat di negeri ini menghayati sambutan Hari Malaysia kerana ia penuh signifikan.

Sementara itu Taib ketika berucap pada majlis yang sama berharap bandar Sibu akan terus berkembang pesat.

Katanya kini Sibu lebih terserlah sebagai pintu masuk utama ke negeri ini dengan kehadiran lapangan terbang yang lebih moden dan canggih.

Penambahan kemudahan dan teknologi yang digunakan dalam mengendalikan lapangan terbang tersebut dapat menjamin keselesaan penumpang.

Jelas beliau, dengan kehadiran lapangan terbang yang baharu ia juga boleh menjadi penggerak utama pembangunan ekonomi bandar Sibu di samping turut mewujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi kepada rakyat di sini. (UB)


No comments:

Post a Comment