Tuesday 4 September 2012

PERKAPITA PENGUKUR PEMBANGUNAN NEGARA



SIA-SIA.....Perjuangan sia-sia pembangkang di Malaysia menyerlah belang sebenar mereka menghalal cara untuk mendapatkan kuasa tanpa mempedulikan kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya yang makmur di bawah pemerintahan BN.


PUTRAJAYA : Aspek pendapatan per kapita dan kesejahteraan rakyat merupakan dua kriteria utama yang dijadikan kayu pengukur dalam menilai kejayaan model pembangunan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata tatkala pendapatan per kapita menjadi ukuran konvensional yang biasa diguna mana-mana negara, Malaysia berusaha mengetengahkan model pembangunan yang lebih bitara (tiada tara) dan unik, dengan turut mengambil kira tahap kesejahteraan atau ‘happiness index of the people’.

Kedua-dua aspek itu kata beliau, perlu dilihat dengan teliti kerana hubung kait antara keduanya tidak semestinya bergerak secara positif disebabkan mungkin ada gangguan lain atau kekangan tertentu, yang boleh mengakibatkan rakyat masih tidak berpuas hati walaupun pendapatan meningkat.

Beliau memberi contoh seperti kesesakan lalu lintas atau jenayah, yang sudah pasti akan diambil kira dalam menentukan tahap indeks kesejahteraan dan tahap rasa puas hati rakyat.

“Kita cuba gubal model pembangunan negara ini secara bitara dan unik, kita tidak pinjam seratus peratus model (pembangunan) dari barat atau timur, tapi kita mesti punyai kemampuan untuk membangunkan model pembangunan sendiri yang sesuai untuk rakyat kita,” katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana Putrajaya, di sini, Isnin.

Perdana Menteri berkata dari segi indikator makro, suku kedua ekonomi negara berkembang pada kadar 5.4 peratus berbanding 4.9 peratus suku pertama tahun ini, dan Malaysia muncul sebagai pusat tawaran awam permulaan (IPO) ketiga terbesar dunia selepas Amerika dan China, dan IPO kedua terbesar di dunia ialah Felda Global Ventures Holdings, manakala ketiga ialah IHH Healthcare, kedua-duanya syarikat milik rakyat Malaysia.

Menurutnya media antarabangsa pula sejak kebelakangan ini membuat liputan yang semakin positif mengenai Malaysia, termasuk media yang sebelum ini amat kritikal mengecam negara yang kini dilihat beralih arah, dan mengakui bahawa bahawa banyak pembaharuan positif serta pembangunan sebenar sedang berlaku dalam negara.

“Saya sebut ini kerana kita sebenarnya sudah mendapat pengiktirafan dunia, (namun) apa mesejnya? Mesejnya ialah momentum mesti diteruskan, jangan sampai agenda transformasi terbantut, kita mesti terus melipatgandakan usaha kita,” katanya.

Najib berkata penjawat awam mempunyai peranan sebagai pelaksana strategi yang amat penting dalam memastikan pembangunan yang direncanakan kerajaan berjalan mengikut jadual, dirasai rakyat, mencapai matlamat, dan sampai kepada kumpulan sasar.

Katanya perarakan sempena Hari Kemerdekaan negara baru-baru ini yang turut menyaksikan pembabitan kepimpinan tinggi perkhidmatan awam negara termasuk Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan juga ketua-ketua setiausaha kementerian, Ketua Polis Negara serta Panglima Angkatan Tentera, amat bermakna.

Beliau berkata kesanggupan kepimpinan tinggi perkhidmatan awam untuk turun padang bersama rakyat, mengambil bahagian secara simbolik semasa melaungkan tema merakyatkan perkhidmatan awam, memberi isyarat jelas bahawa perkhidmatan itu sanggup bersama rakyat, memahami cita rasa rakyat dan sanggup berusaha gigih, jujur dan ikhlas, agar jangkaan rakyat dapat dipenuhi kerajaan.

No comments:

Post a Comment