Thursday 6 September 2012

PRESS BUAT KENYATAAN MELULU




Saudara Pengarang,

DEWAN Pemuda PAS Negeri Sabah menyambut baik respon yang diberikan Setiausaha Persatuan Rumpun Etnik Suluk Sabah (Press), Mohd Zaki Harry Susanto berkenaan isu 'Native' di dalam Perlembagaan Negeri berdasarkan Interpretation (Definition of Native) Ordinance (Sabah Cap. 64) Seksyen 2(C).

Saya mengambil perhatian terhadap kenyataan yang telah dikeluarkan oleh beliau pada 17 Ogos 2012 yang meminta saya menarik balik dan memohon maaf terhadap kenyataan saya bertarikh 14 Ogos 2012 dan terbaru, mengenai satu laporan polis berhubung isu berkenaan pada 3 September (kelmarin).

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kerana memberi peringatan kepada saya. Saya mengambil tindakan segera dengan menyemak kenyataan yang diterbitkan oleh salah sebuah akhbar tempatan pada tarikh tersebut dalam edisi Bahasa Melayu dan edisi Inggeris.

Saya dapati, terdapat beberapa kesilapan penekanan terhadap ucapan saya yang menyebabkan timbul kekeliruan di pihak mereka yang terbabit.

Terdapat tiga perkara yang menjadi point utama saya dalam membicarakan Penubuhan RCI yang telah diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini. Antaranya:

1.         Saya melahirkan kekecewaan apabila Panel yang menggangotai RCI adalah berat sebelah kerana tidak melantik mereka yang terbabit dan berkredibiliti dalam penyelidikan dan pendedahan IC Projek. Antara nama yang saya cadangkan ialah Dr. Chong Eng Leong dan Tan Sri Simon Sipaun.

2.         Saya memohon, di samping tumpuan terhadap mereka yang memiliki IC Projek, penekanan juga perlu dilakukan terhadap dalang terbabit. Hukuman keras perlu dikenakan terhadap mereka, dan ketiga

3.         Saya memohon agar undang-undang mengenai Native iaitu INTERPRETATION (DEFINITION OF NATIVE) ORDINANCE (Sabah Cap. 64) DIPERKASAKAN. “Indegenous People” atau orang Asal dalam (2)(1)(a) perlu diperincikan dengan memasukkan terma suku-suku kaum dan etnik yang diiktiraf di Sabah seperti Kadazan, Dusun, Murut dan lain-lain. Ini juga adalah saranan Lord Cabold dalam LAPORAN COBOLD yang meminta Ordinan ini perlu diselaraskan sewaktu proses penubuhan Malaysia, dan Sarawak telah Berjaya melakukannya dengan memasukkan etnik yang diiktiraf dalam Undang-undang NATIVE mereka malah ia termasuk juga etnik Dusun dan Murut.

Saya juga menjelaskan, Ordinan tersebut [Interpretation (Definition of Native) Ordinance (Sabah Cap. 64)] tidak menggambarkan realiti sebenar Sabah apabila suku-suku kaum dan etnik yang diiktiraf ini tidak dimasukkan SEDANGKAN dalam (2)(1)(c) suku kaum Suluk, Kegayan, Simunul dan Ubian yang MEREKA sebut (kononnya) sebagai Pendatang Tanpa Izin (PTI) dinyatakan secara jelas dalam undang-undang tersebut.

Oleh itu saya ingin menegaskan bahawa:

1.         Saya TIDAK PERNAH MENYARANKAN dan TIDAK PERNAH MEMINTA supaya mana-mana suku kaum dan etnik terbabit dalam artikel (2)(1)(c) yang terdiri dari suku kaum Suluk, Kegayan, Simunul dan Ubian dikeluarkan daripada Undang-undang Native bagi bagi Sabah [Interpretation (Definition Of Native) Ordinance (Sabah Cap. 64)].

2.         Saya juga TIDAK PERNAH dan TIDAK BERNIAT MEMPERTIKAIKAN suku kaum terbabit dalam Ordinan berkenaan memandangkan ucapan saya hanya menggunakan suku kaum dalam artikel (2)(1)(c) terbabit untuk menyindir kepemimpinan yang lantang dalam RCI sedangkan sewaktu mereka memerintah, dan menguasai majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka tidak pun memasukkan suku kaum dan etnik yang diiktiraf dalam Ordinan berkenaan.

Saya yakin apa yang berlaku adalah kekeliruan yang berlaku akibat ruang penekanan yang disiarkan terhadap ucapan saya dan berharap penjelasan ini dapat menjernihkan keadaan.

Salam Hormat,

LAHIRUL BIN LATIGU
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

No comments:

Post a Comment