Saturday 15 September 2012

RM150,000 DALAM MESIN ATM LESAP





SEKUMPULAN lelaki bertindak nekad melarikan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank yang mengandungi wang tunai RM150,000, di Seremban 2, awal pagi kelmarin.
   
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamarudin berkata kejadian antara 3.15 pagi hingga 4 pagi itu dirancang rapi kumpulan penjenayah terbabit.

"Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kita dapati semua suspek memakai topeng dan dipercayai lebih daripada tiga orang dan mereka mulanya bertindak menyembur cat pada CCTV," katanya kepada pemberita di Seremban, kelmarin.
   
Menurutnya perompak terbabit kemudian bertindak memecahkan dinding cermin di premis bank tersebut menggunakan tukul besi, sebelum memotong dan melarikan satu daripada sembilan mesin ATM dan deposit wang bank berkenaan.
   
Katanya, kejadian itu menyebabkan penggera di bank berkenaan berbunyi, namun suspek berjaya mematikan sistem penggera.
   
Katanya, kejadian rompakan itu disedari kira-kira 6.50 pagi oleh seorang pelanggan yang kebetulan mahu mengeluarkan wang di bank berkenaan sebelum menghubungi polis.
   
Mesin ATM yang dilarikan itu berjaya ditemui di sebuah ladang di Jalan Labu, dekat sini, pada 11 pagi kelmarin, namun semua wang telah dilarikan, katanya.
     
Polis kini meneliti rakaman CCTV untuk mengenal pasti suspek terlibat.
   
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban atau talian 06-6033222 untuk membantu siasatan. (Bernama)

No comments:

Post a Comment