Saturday 22 September 2012

RONALD KIANDEE SELAR 'MULUT CELUPAR'





Oleh : SHAIMON S JUMADI

AHLI Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee membidas dan menyelar sekeras-kerasnya terhadap pemimpin parti pembangkang yang biadap dan bermulut celupar kerana hanya pandai memutar belitkan setiap perkara positif dan menidakkan usaha-usaha kerajaan persekutuan bagi membangunkan negeri Sabah.

Apa saja kebaikan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan persekutuan untuk kebaikan rakyat jelata di negeri Sabah, langsung dinafikan dan dipandang serong oleh para pemimpin pembangkang dan ada sahaja yang tidak betul  dengan mereka.

Kata Ronald lagi, para pemimpin pembangkang hanya tahu buat janji itu dan janji ini; tetapi tiada satupun bukti yang mereka tunaikan kepada rakyat; tidak ubah seperti anjing menyalak bukit, sedangkan mereka bercakaran dan berebut kawasan sesama sendiri.

Ronald berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Penerangan STAR, Edward Linggu yang tersiar di akhbar tempatan pada khamis lalu yang mendakwa bahawa Sabah setara dengan negeri lain, sebagai dakwaan liar dan tidak tepat.


"Isu tersebut mereka putar belitkan untuk kepentingan diri dan politik mereka sedangkan, berbanding dengan yang pemimpin Barisan Nasional (BN) katakan berdasarkan fakta dan tidak dibuat sesuka hati," katanya.

Menurut Ronald, kenyataannya di akhbar tempatan pada Selasa lepas merujuk kepada peranan penting diberikan kepada pemimpin dan penjawat awam dari negeri ini dalam kerajaan Persekutuan membuktikan Sabah berada dalam kedudukan terbaik dalam Malaysia.

Katanya, perkataan setara yang digunakan adalah merujuk kepada perlantikan pemimpin dan pegawai Sabah di peringkat persekutuan, tetapi tidak merujuk kepada aspek pembangunan.

"Malah dalam kenyataan itu, saya menyatakan Sabah perlu terus diberi perhatian khusus oleh kerajaan persekutuan untuk mengimbangi keperluan pembangunan yang mendesak di negeri ini.

"Saya kesal kerana Edward tidak membaca kenyataan akhbar saya sebelum membuat kenyataan. Atau diedar oleh parti beliau untuk memutar belit kenyataan," katanya.

Ronald berkata ia menunjukkan pemimpin parti pembangkang itu hanya mengambil kesempatan untuk membuat kenyataan bagi meraih sokongan rakyat untuk kepentingan diri dan politik mereka.

Beliau berkata kenyataannya mengenai perlantikan pemimpin dan penjawat awam dalam jawatan penting di peringkat persekutuan adalah berdasarkan fakta.

Katanya terdapat empat menteri kabinet persekutuan daripada rakyat Sabah iaitu Menteri Luar Datuk Anifah Aman; diikuti Datuk Shafie Afdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah); Datuk Maximus Ongkili (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Tan Sri Bernard Dompok (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi).

Menurutnya, dari segi penjawat awam antaranya Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail.

Ronald yakin penduduk negeri ini bijak dalam menilai kenyataan yang dibuat oleh pemimpin parti pembangkang yang pandai memutar belitkan fakta sebenar untuk meraih sokongan rakyat.

Katanya lagi, mereka juga memutar belitkan fakta dan menidakkan program pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika mengadakan perjumpaan dan ceramah di kampung sekitar daerah Beluran dengan tumpuan mereka di kawasan luar bandar.
                                     

No comments:

Post a Comment