Monday 24 September 2012

SERIBU LANGKAH MERUBAH LANDSKAP PITAS





Oleh : JAILANI HASAN

LABUAN : Pembangunan sektor pelancongan dan perikanan secara bersepadu mampu mengubah landskap ekonomi serta merancakkan aktiviti perniagaan di daerah Pitas, selain membuka banyak peluang pekerjaan.

Ini berdasarkan kedudukan strategik Pitas berhampiran Teluk Marudu dan perairan luas Kudat yang kaya dengan sumber marin, selain kekayaan alam yang boleh dimanfaatkan untuk kegiatan pelancongan.

Anggota Majlis Daerah Pitas Rudy Awah berkata kelebihan itu wajar diteroka dan usaha bersepadu perlu dilakukan agensi berkaitan bagi memastikan sumber ekonomi yang tersedia dimanfaatkan sepenuhnya untuk memajukan daerah ini.

Langkah membangunkan kedua-dua sektor itu penting bagi mengubah kedudukan sosio-ekonomi penduduk yang kebanyakannya bergantung kepada kegiatan pertanian dan perikanan sara diri.

"Pantai yang cantik jika dimajukan dengan menyediakan prasarana yang baik pasti menarik pelancong untuk ke daerah ini dan secara tidak langsung mewujudkan banyak peluang ekonomi kepada penduduk," katanya kepada Bernama selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis Daerah Pitas 2012 di Labuan baru-baru ini.

"Begitu juga dengan sektor perikanan, banyak boleh dilakukan untuk memajukannya termasuk menjadikan daerah ini pusat operasi penangkapan ikan laut dalam selain mewujudkan aktiviti hiliran hasil laut," katanya.


 




AKTIVITI PELANCONGAN

Rudy berkata ramai pelancong dalam dan luar negara menjadikan Kudat sebagai destinasi mereka dengan aktiviti riadah di Tanjung Simpang Mengayau harus diekpolitasi oleh Pitas.

"Jika kemudahan dan keperluan yang sesuai diwujudkan, ia bukan saja memberi keselesaan kepada pengunjung malah menjadikan tempat ini lebih menarik," katanya.

Rudy menunjukkan sistem perhubungan jalan raya juga semakin baik, khususnya jalan-jalan menghubungkan Pitas dengan daerah terdekat lain.

"Kalau dulu hanya mampu dikenali sebagai antara daerah terpinggir dan lebih bergantung kepada hasil sumber laut dan pertanian, dengan penduduknya berhijrah ke bandar utama untuk meningkatkan taraf hidup. Tetapi kini semuanya sudah berubah.

"Pitas yang terletak di bahagian utara Sabah, Kudat, dengan penduduk hampir 40,000 orang kini boleh berbangga dengan pembangunan infrastruktur.

Komposisi suku kaum etnik utama di daerah ini adalah Rungus dan Sungai (termasuk Tambanuo). Pitas asalnya dipanggil sebagai Tupak yang bermaksud "merentasi". Tupak merujuk kepada kediaman suku Momogun Tombonuvo dan Momogun Rungus pada zaman purba.

Dengan kewujudan pekan sendiri, sekolah rendah dan menengah selain industri hiliran pertanian dan perikanan, Pitas sekiranya dipromosi dengan baik akan dapat bersaing dengan daerah lain.

Rudy berkata Pitas pernah dikategorikan sebagai antara daerah termiskin di Malaysia tetapi kini Pitas rancak membangun setanding dengan daerah lain di negeri ini.

MENARIK PELAWAT DENGAN BAGANG

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Pitas Datuk Bolkiah Haji Ismail berkata Pitas memiliki pelbagai sumber kekayaan asli dan mampu dimajukan.

Bolkiah, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, antaranya, Bagang iaitu sejenis platform tradisional yang dibina di laut untuk menangkap ikan bilis yang popular di Teluk Marudu yang boleh dijadikan produk pelancongan.

"Kita boleh membawa pelancong untuk melihat dari dekat proses penangkapan ikan menggunakan Bagang.

Selain itu, kawasan Teluk Marudu adalah lokasi tempat memancing yang selamat selain perairan yang tenang ini membolehkannya dijadikan salah satu lagi produk pelancongan memancing untuk penggemar hobi memancing.

Bagi sektor pelancongan destinasi yang kita kenalpasti adalah Batu Sipirak, Batu Berunsai dan Batu Piring di Malubang. Tempat-tempat ini akan lebih mudah dikunjungi apabila jalan Liu-Malubang siap dibina sepenuhnya kelak.

Tempat-tempat ini mempunyai lagenda yang menarik. Selain itu, terdapat tiga telaga ajaib di Malubang, telaga air tawar yang terdapat di dalam laut. Pantai Malubang juga pasirnya cantik dan putih.


 



MEMBANGUNKAN DATARAN BENGKOKA

Rudy juga menyatakan bahawa kerajaan memperuntukkan sebanyak RM14 juta untuk memajukan Dataran Bengkoka sebagai kawasan tumpuan pelancongan.

"Kita membina restoran, espalanade 10 gerai tamu, perpustakaan rakyat, di situ juga kita dirikan stesen minyak, banglo penginapan dan padang futsal.

"Kita menggalakkan lebih banyak lagi pengusaha hotel, chalet untuk melabur dalam sektor pelancongan di Pitas. Ketika ini, jika ada acara atau program besar yang diadakan di Pitas seperti Pesta Bengkoka yang diadakan pada bulan Mei setiap tahun, biasanya pengunjung terpaksa mencari penginapan di Kota Marudu.

"Kita juga menggalakkan masyarakat kampung menceburi industri inap desa untuk meningkatkan ekonomi serta menampung keperluan pelancongan. Industri inap desa ini boleh dimajukan di Kampung Rosob, Pinggan-Pinggan dan Malubang.

"Sekarang ini terdapat inap desa di Sungai Iloi dan beberapa tempat lain dengan ramai peserta tempatan mengikuti kursus bagi mengembangkan industri inap desa," katanya.

"Selain itu kita mahu membesarkan pekan Pitas supaya setanding dengan pekan lain di Sabah yang dilengkapi dengan kemudahan seperti pasaraya dan kemudahan penjana ekonomi setempat.

"Dengan adanya kemudahan seperti hotel, pejabat pos, pasaraya, bank dan sebagainya, Pitas mampu membangun dan menjadi tempat persinggahan yang menarik apatah lagi ia laluan utama Jalan Pitas Paitan.

"Kita juga mahu Majlis Daerah Pitas memperbanyak gerai, supaya memberi daya saing, kita mahu mengembalikan kuasa beli dalam kalangan rakyat dan memperbanyakan prasarana komersial.

"Sebagai sebuah daerah yang bakal menjadi pengeluar getah terbesar di negeri ini, kita mahu memajukan industri berasaskan getah seiring dengan hasrat kerajaan satu daerah satu industri. Satu masa nanti kita boleh mengeluarkan sarung tangan, tayar dan sebagainya.

GETAH MEMBAWA HARAPAN

Rudy menjelaskan yang kerajaan telah memperuntukan insentif berjumlah RM30 juta kepada seramai 23,378 pekebun kecil, peneroka Skim Penempatan Getah dan para peserta Ladang Komuniti Getah di Bengkoka, Pitas.

Insentif pengeluaran getah ini akan dilaksanakan oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan pembayaran akan dibuat berdasarkan kepada kandungan getah kering (KGK) mengikut jenis getah.

"Objektif utama pemberian insentif ini adalah untuk menseimbangkan harga getah di Sabah dan Semenanjung," katanya.

Dengan pemberian insentif ini para pekebun kecil seharusnya mempraktikkan amalan pertanian yang baik menggunakan baja dan meningkatkan pengeluaran sehektar. Adalah menjadi harapan Kerajaan agar tahap pengeluaran semasa sebanyak 1,391 kg/hektar dipertingkatkan kepada 1,600 hingga 1,800 kg sehektar.

Kerajaan Negeri juga berharap supaya kesemua getah dijual kepada LIGS di mana pada tahun ini LIGS akan membantu seramai 1,973 pekebun kecil daripada 65 buah kampung merangkumi 19 buah daerah dengan kawasan penanaman getah seluas 6,392 hektar.

AKTIVITI PENDIDIKAN

Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini sekali lagi telah menganjurkan satu program turun padang dengan misi memasarkan pendidikan di kawasan pedalaman.

Program murni sentuhan kasih UMS ini diadakan di sebuah kampung terpencil dalam daerah Pitas iaitu di Kampung Malubang.

"Ini untuk membantu pembangunan pendidikan di Pitas," katanya.

Aktiviti seumpama ini yang julung kali diadakan di Kampung Malubang berjaya menghimpunkan ratusan orang yang terdiri daripada penduduk Kampung Malubang, Pansuran dan Kampung Lok Dangkaan serta murid dan guru daripada 10 buah sekolah berhampiran. (Bernama)

1 comment:

  1. apakah ciri budaya dan ciri fizikal dataran bengkoka?

    ReplyDelete